PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan saringan COVID-19 terhadap semua sekolah dan madrasah tahfiz di negara ini, biarpun ia belum mendaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia berikutan, institusi terbabit sememangnya antara sasaran untuk saringan pengesanan COVID-19 dijalankan.
Beliau berkata, pihaknya sememangnya sudah mengenal pasti dua kategori sekolah dan madrasah tahfiz iaitu yang sudah berdaftar dengan pihak JAKIM atau sebaliknya.
“KKM mengalu-alukan untuk mereka mendaftarkan institusi masing-masing dan kita akan jalankan saringan secara berperingkat-peringkat.
Sekolah tahfiz adalah antara sasaran KKM dan kita akan jalankan saringan di institusi yang berdaftar serta yang belum mendaftar.
“Jika mereka berdaftar dengan JAKIM, ada syarat yang kita boleh ketengahkan untuk mereka patuhi. Sama ada mendaftar atau sebaliknya, KKM akan menjalankan saringan secara berperingkat-peringkat kepada mereka semua,” katanya pada sidang media COVID-19, di sini, pada 4 Julai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, sebelum ini dilaporkan berkata, semua sekolah agama dan madrasah tahfiz berdaftar bawah KPM serta kerajaan negeri, dibenarkan beroperasi semula mulai 15 Julai ini.
Beliau juga dilaporkan berkata sekolah agama dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar bagaimanapun perlu merujuk pihak kerajaan negeri sebelum memulakan operasi.
KOMEN