Home » Langit Terbuka » Sarawak benarkan solat jemaah di masjid, surau dengan syarat mulai hari ini

Sarawak benarkan solat jemaah di masjid, surau dengan syarat mulai hari ini

Mulai 12 Jun, Masjid Jamek (Masjid Negeri Sarawak) dibenarkan 100 orang jemaah untuk solat Jumaat dan untuk sembahyang (lima) waktu harian, dibenarkan 40 orang. - Foto Info Sebenar

KUCHING – Solat lima waktu berjemaah di masjid dan surau dibenarkan dengan pelbagai syarat di Sarawak mulai 9 Jun, sementara solat Jumaat pula bermula 12 Jun ini dengan jumlah jemaah dihadkan di antara 20 orang dan 100 orang pada satu-satu masa.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha hari ini berkata keputusan itu dibuat selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mulai 12 Jun, Masjid Jamek (Masjid Negeri) kita benarkan 100 orang jemaah untuk solat Jumaat dan untuk sembahyang (lima) waktu harian, kita benarkan 40 orang,” katanya semasa mengumumkan kebenaran itu di pejabat Mufti Negeri Sarawak di sini pada 8 Jun.

Menurutnya masjid-masjid bahagian, daerah dan daerah kecil di negeri ini pula dibenarkan sehingga 50 orang jemaah untuk mengerjakan solat Jumaat dan sehingga 40 orang bagi solat lima waktu.

“Masjid Kariah dan surau yang dibenarkan mengadakan solat Jumaat, kita izinkan 40 orang jemaah dan 40 orang jemaah untuk solat lima waktu,” katanya, sambil menambah surau-surau lain di seluruh Sarawak pula dibenarkan sehingga 20 orang jemaah untuk solat lima waktu.

Misnu berkata Majlis Islam Sarawak menyerahkan kepada jawatankuasa masjid dan surau dalam memilih jemaah untuk bersolat bersama di premis masing-masing dan mereka juga hendaklah memastikan jemaah yang datang sentiasa mematuhi peraturan PKPP yang ditetapkan.

“Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) juga akan pergi ke beberapa tempat di seluruh negeri Sarawak untuk memantau hal ini dan setakat (PKP Bersyarat atau PKPB) ini, kita bersyukur kerana jemaah-jemaah kita mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *