BANTING – Prihatin dengan kejadian kebakaran yang menimpa sebuah keluarga di sini, pasukan Sukarelawan Al Rahmah (SAR) Kuala Langat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada 15 Julai lalu telah menyampaikan sumbangan kepada mereka.
Ketua SAR Kuala Langat, Hasmawi Mahidin bersama 15 anggota pasukan telah mengunjungi kediaman En Mohd Fakrul Khair Bahrain di Kampung Endah di sini pada jam 9 malam bagi tujuan berkenaan.
Sumbangan berupa wang tunai, barangan dapur, kain dan telekung berkenaan sedikit sebanyak diharap meringankan bebanan yang dihadapi keluarga mangsa yang mana kediaman mereka musnah sama sekali.
Fakrul Khair yang menerima sumbangan berkenaan bagi pihak keluarganya mengucapkan terima kasih kepada SAR Kuala Langat dan YADIM atas keprihatinan yang ditunjukkan serta reaksi pantas menghulurkan bantuan.
Dalam satu kejadian menyayat hati pada 14 Julai lalu, dua beradik, Nur Salsabila Mohd Fakrul Khair, 15, dan adiknya, Nur Ain Sumayyah, 13 maut apabila kediaman mereka terbakar kira kira jam 2.30 pagi.
Ketika pasukan bomba mengeluarkan mayat mereka, keduanya ditemui dalam keadaan duduk bersebelahan dalam bilik tidur.
Mohd Fakrul dan isterinya Serihayati Ngainan ketika kejadian sedang memasak makanan bagi pasukan bomba yang memadamkan kebakaran kilang kimia di Pelabuhan Klang.
Jiran jiran mangsa memberitahu, mereka memang terdengar jeritan dua beradik berkenaan, namun tidak dapat membantu menyelamatkan keduanya kerana api marak terlalu cepat.
KOMEN