KAJANG – Assalamualaikum Tuan…. Dari jauh kami disapa oleh mereka. Sopan dan teratur mereka duduk menanti kehadiran kami sebagai tetamu.
Langsung tidak kelihatan sebarang riak sedih. Namun bak kata hikmah, jangan diukur hati pada riak wajah. Para banduan akhir ini yang sedang menanti hukuman ketika program kami menyantuni mereka ini jelas tampak sabar.
Dengan penuh tekun mereka mengikuti pengisian yang diberikan sepanjang program berlangsung.
Sesuai dengan gerak kerja menyantuni semua tanpa mengira latar belakang, YADIM bekerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menziarahi dan menyantuni banduan akhir di Penjara Kajang dan Sungai Buloh pada 13 April.
Bukan sahaja bagi mengimarahkan Ramadan, tetapi juga sebagai pengisian kerohanian untuk para banduan akhir ini. Pengerusi USIM, Yang Berhormat Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berpeluang menyampaikan tazkirah kepada banduan akhir di kedua penjara ini.
Beliau menekankan konsep memanfaatkan masa dan sabar serta sentiasa bermuhasabah kepada para banduan ini.
Selain tazkirah, para banduan akhir ini juga menunaikan solat Zohor dan Asar berjemaah yang dipimpin oleh Datuk Dr Zulkifli.
Hadir sama ke program ini ialah Ketua Pegawai Eksekutuf YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan wakil wakil kepimpinan pelajar USIM.
Secara keseluruhan, YADIM menyampaikan sebanyak 400 pek makanan bukan sahaja untuk banduan akhir, tetapi juga penghuni lain di kedua penjara ini pada 13 April menerusi program Ziarah Rahmat Ramadan, termasuk kepada yang bukan Muslim.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada Komisioner Jeneral Penjara, Dato’ Haji Nordin Haji Muhamad, Timbalan Pengarah (Seksyen Penilaian Residivis), Timbalan Komisioner Penjara Abdul Halim Ma Hasan, Pengarah Penjara Kajang, Timbalan Komisioner Penjara Mohd Andri Md. Ridzuan dan Pengarah Penjara Sungai Buloh, Timbalan Komisioner Penjara Rosoman Abu Bakar @ Che Din yang membantu menjayakan program ini.
KOMEN