Georgetown: “Perbuatan membiarkan ayat suci al-Quran di tempat kotor tidak sepatutnya berlaku,” kata Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor, susulan tular gambar dua kepingan batu tertera tulisan Jawi dijadikan pelapik tidur anjing di sebuah premis perkakasan di Teluk Ayer Tawar, Butterworth di sini, baru-baru ini.
Wan Salim berkata, perbuatan membiarkan ayat suci berada di tempat yang tidak sesuai, apatah lagi di tempat yang kotor, tidak sepatutnya berlaku di depan mata orang Islam.
“Jika sesiapa yang melihat ayat al-Quran diletakkan di tempat sedemikian maka wajib dia memungut dan meletakkannya di tempat yang bersih serta sesuai dengan kemuliaannya.
“Umum mesti mengetahui bahawa dalam kehidupan ini, terdapat perkara suci (muqaddasat) yang perlu dihormati terutama membabitkan nama Allah SWT, kitab suci, buku agama serta tulisan dalam bahasa Arab dan Jawi,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, sekiranya bahan itu tidak boleh dimanfaatkan lagi kerana sudah lusuh atau usang, maka ia hendaklah dilupuskan dengan cara dibakar manakala abunya dikambus dalam bumi, dihanyut ke sungai atau dibuang ke laut.
“Sehubungan itu, sama-samalah kita memelihara kemuliaan ayat suci daripada dihina orang yang jahil,” katanya lagi.
Terdahulu, polis sudah membuka siasatan berhubung gambar tular terbabit.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie, tiga keping gambar dikesan tular di Facebook Kementerian Netizen Malaysia, sejak dua hari lalu.
KOMEN