Home » Langit Terbuka » Saluran diplomasi mekanisme terbaik selesaikan konflik – Anwar

Saluran diplomasi mekanisme terbaik selesaikan konflik – Anwar

Anwar tiba di San Francisco untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik ke-30 dari 14 hingga 17 November. - Foto Borneo Post Online

PETALING JAYA – Malaysia sentiasa berpegang kepada saluran diplomasi sebagai mekanisme terbaik untuk menyelesaikan sebarang konflik.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu syarahan umum berjudul ‘Persaingan Kuasa Besar dan Ketegangan yang Meningkat di Asia Pasifik’ di Universiti California, Berkeley, pada 15 November.

Beliau turut menerangkan tentang keperluan hubungan strategik antara Malaysia dengan China dan Amerika Syarikat demi kerancakan ekonomi dan kepentingan negara.

“Malaysia akan terus memperkukuh hubungan meliputi kebhinekaan bidang melibatkan kedua-dua negara tanpa perlu didesak untuk memilih mana-mana blok atau pihak.

“Ruangan ini turut saya gunakan untuk membawa suara Malaysia yang mengutuk sebarang bentuk keganasan dan tindakan membunuh nyawa tidak bersalah, menjadikan wanita dan kanak-kanak sebagai tebusan,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook.

Selain itu, berkaitan dengan konflik di Palestin, Anwar juga bertegas dalam mengutuk pengeboman ke atas orang awam, rumah dan hospital serta kekejaman yang berbangkit terhadap nyawa yang tidak bersalah, kanak-kanak, dan wanita tanpa henti di Gaza.

“Malaysia melihat situasi di Gaza sebagai krisis pembantaian secara ‘indiscriminate’ atas nama ‘memerangi keganasan’ oleh rejim Zionis Israel.

“Ia ternyata suatu pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan dan perlu dihentikan serta-merta,” katanya.

Semalam, Anwar tiba di San Francisco untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-30 di sini dari 14 hingga 17 November ini. – KOSMO! Online

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *