Kuala Lumpur: “Saya pernah didatangi individu ketika berada di lapangan terbang yang memberitahu mereka melabur sehingga RM50,000 selepas tertarik dengan ‘pelaburan patuh syariah’ kononnya dibuat oleh saya.”
Begitu kata Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff yang menafikan pembabitannya dalam sebarang bentuk pelaburan.
Menurutnya, individu berkenaan turut menunjukkan poster tertera gambar dirinya lalu memberitahu mereka bahawa ia adalah scammer.
“Saya kemudian memaklumkan kepada mereka bahawa saya ini penjawat awam dan tidak pernah terbabit dalam pelaburan itu dan ia adalah (perbuatan) scammer.
“Malah saya sudah dua kali membuat laporan polis kerana gambar saya digunakan dalam poster pelaburan patuh syariah yang didakwa dapat menjana pendapatan besar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.
Mohd Izhar yang juga pendakwah berkata, perbuatan pihak tidak bertanggungjawab itu secara tidak langsung akan memburukkan nama tokoh agamawan terlibat dan beliau turut bersimpati dengan masyarakat yang menjadi mangsa penipuan.
“Menipu pelaburan kononnya patuh syariah dengan menggunakan gambar tokoh agama tanpa kebenaran hukumnya haram dan jika mereka bertaubat perlu membayar kembali wang yang diambil daripada pelabur terbabit.
“Saya nasihatkan (pelabur) semak betul-betul dan rujuk kepada pakar sebelum membuat apa-apa pelaburan kerana ia membabitkan wang simpanan, gaji dan pencen,” katanya.
Suami kepada selebriti Heliza Helmi, Mahadi Badrul Zaman pula berkata, dia menyedari gambar dan videonya digunakan dalam penipuan pelaburan itu membabitkan 93 syarikat pelaburan.
“Mereka mengambil video asal saya bercakap sebelum disunting dan menawarkan pelaburan itu dengan menekan pautan diberikan sebelum akhirnya menjadi mangsa penipuan.
“Modus operandi mereka meminta pelabur memasukkan wang RM300 dan akan mendapat pulangan RM3,000 dalam masa sehari di mana selepas tiga jam individu yang melabur itu akan menerima mesej menyatakan pelaburannya berjaya,” katanya.
Katanya, syarikat terbabit kemudian meminta pelabur itu memasukkan wang deposit RM1,500 kononnya bagi mendapat pulangan RM3,000 dan seterusnya diminat mengganda pelaburan hingga RM10,000 menyebabkan kerugian dalam masa sehari.
“Ramai yang menjadi mangsa kerana terpengaruh apabila melihat gambar tokoh terkenal digunakan termasuk orang tua yang menggunakan duit pencen, wang Kumpulan Simpanan Kumpulan Pekerja (KWSP),” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, menggunakan gambar orang lain untuk meraih keuntungan secara penipuan ini adalah perkara tidak elok.
“Gambar saya turut digunakan oleh ‘mereka’ yang membuat pelaburan patuh syariah dan saya sudah membuat laporan polis.
“Ramai lagi tokoh termasuk menteri yang gambar mereka digunakan untuk meyakinkan orang ramai untuk melabur dengan mereka,” katanya.
Katanya, beliau menafikan malah tidak ada kena mengena dengan pelaburan terbabit yang mengaitkan dengan konsep patuh syariah.
“Nasihat saya masyarakat perlu dapatkan pengesahan termasuk dengan individu di mana gambarnya turut dipaparkan supaya tidak menjadi mangsa penipuan oleh ‘penunggang agama’ ini,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJ) Bukit Aman mengesan kewujudan pelbagai iklan pelaburan saham ‘Islamik’ dan ‘patuh syariah’ secara berleluasa di beberapa platform media sosial.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dilaporkan berkata, sepanjang 2020 hingga Mei lalu, sejumlah 186 kes disiasat berkaitan skim penipuan pelaburan ‘patuh syariah’ yang membabitkan jumlah kerugian keseluruhan berjumlah RM5.4 juta.
Harian Metro pada Khamis lalu turut mendedahkan lebih 200 syarikat dipercayai aktif melakukan penipuan skim pelaburan membabitkan kerugian RM1 bilion.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim dipetik berkata, skim pelaburan seumpama itu sudah wujud sejak 2015, tetapi semakin trending pada tahun ini. -HMetro
KOMEN