Home » Langit Terbuka » Saifuddin luah rasa meluat dengan kenyataan Israel

Saifuddin luah rasa meluat dengan kenyataan Israel

KUALA LUMPUR – Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata beliau merasa sangat meluat dengan kenyataan jurucakap Kementerian Luar Israel yang menuduh Malaysia tidak mempunyai semangat Olimpik dan melabel Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai anti-Yahudi.

Saifuddin berkata selama lebih separuh abad, Israel tidak pernah mengendahkan hak tidak terpisah rakyat Palestin sambil melaksanakan dasar dan amalan tidak berperikemanusiaan yang jelas mencabul undang-undang antarabangsa.

“Israel tiada hak untuk bercakap tentang nilai moral apabila mereka sendiri adalah sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, jurucakap Kementerian Luar Israel, Emmanuel Nahshon mengecam larangan penyertaan atlet Israel dalam acara sukan antarabangsa yang dianjurkan Malaysia dan berkata keputusan itu diinspirasikan oleh sikap anti-Yahudi melampau Dr Mahathir.

Pada 10 Jan lalu, Dr Mahathir berkata kerajaan Malaysia kekal dengan pendirian tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching bermula 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Saifuddin juga mengulangi Malaysia sentiasa dan akan terus menjadi penyokong tegar perjuangan rakyat Palestin yang disokong oleh komitmen jangka panjangnya ke arah mengembalikan hak dan kebebasan rakyat Palestin. – Bernama

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *