PUTRAJAYA – “Gejala fitnah ini sifatnya adalah tidur, tetapi apabila dikejutkan, Allah SWT melaknat orang yang melakukannya,” kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Katanya, umat Islam perlu menghindarkan diri daripada melakukan dan menyebarkan sesuatu perkara yang boleh menimbulkan fitnah.
“Sebaik-baiknya kita perlu muhasabah diri dan mengambil kecaknaan dan keprihatinan sebenar mengikut apa yang dianjurkan dalam Islam serta bersifat ‘tabayun’ serta nasihat menasihati ke arah kebaikan.
“Umat Islam seharusnya berhati-hati apabila menerima sebarang berita serta menghindarkan diri daripada dipengaruhi perkara yang tidak benar,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri di pejabatnya, di sini.
Zulkifli berkata, masyarakat perlu mempunyai sifat sabar dan jangan terlalu cepat melatah sekiranya menerima sesuatu musibah atau berita yang tidak jelas.
Beliau berkata, orang ramai perlu bersikap ‘tabayun’ kerana dari situlah akan menemukan suatu hikmah dan untung yang besar kerana tidak tergopoh-gapah dalam mengambil sesuatu tindakan.
“Saya suka memberi peringatan kepada diri dan masyarakat untuk menapis sebarang bentuk berita dan jangan menjadi golongan yang mudah mempercayai atau dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan diri terperangkap.
“Kita perlu bersikap tenang dan mengambil sikap berwaspada serta ‘tawakuf’ selama mana perkara itu tidak menjadi satu kejelasan yang sebenar.
“Sekiranya sesuatu isu itu dalam kesamaran, kita sebaiknya tidak membabitkan diri kerana perkara itu akhirnya akan menimbulkan sifat wasangka yang menatijahkan sifat memungkinkan boleh mencederakan maruah seseorang sehingga membawa parah,” katanya. – Berita Harian
KOMEN