KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menghargai peranan guru agama yang memainkan peranan penting dalam membekalkan ilmu agama, khususnya Fardu Ain, ibadat, aqidah dan hukum agama untuk melahirkan modal insan berkualiti duniawi serta ukhrawi.
Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata program Perhimpunan Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Sabah di sini, hari ini, menjadi medan pertemuan dalam kalangan pendidik serta guru agama untuk mengeratkan silatrurrahim dan ukhuwah, selain bertukar idea serta memperkasa peranan dan tanggungjawab masing-masing.
“Kerajaan negeri amat menghargai inisiatif bersepadu semua pihak yang terbabit dalam menjayakan program penuh bermakna ini.
“Saya yakin perhimpunan murabbi (pendidik) ini akan menghasilkan satu semangat untuk kita menggembleng kemahiran, ilmu dan tenaga demi perpaduan serta pembangunan di Sabah.
“Dalam mengharungi cabaran sebagai pendidik, kita memerlukan golongan cendikiawan agama yang bukan sahaja berperanan sebagai guru agama dalam kelas, malah bertanggungjawab memperbaiki, memimpin dan membimbing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Sabah di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Arifin Arif.
Seramai 1,300 pendidik terdiri daripada guru agama serta imam hadir pada majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu.
Pada majlis itu, Asyraf Wajdi menyampaikan cek RM47.5 juta iaitu peruntukan kerajaan Persekutuan melalui JAKIM kepada kerajaan negeri bagi membayar imbuhan imam, elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan Takmir sepanjang tahun ini.
Mengenai program berkenaan, Musa berkata, ia bertepatan ketika negara berdepan dengan cabaran dalam pelbagai bidang serta dimensi.
“Kebelakangan ini, ada pihak tertentu cuba memainkan sentimen agama bagi menggugat keharmonian agama di negara kita yang jika tidak ditangani dengan baik dan berhemah, boleh membawa kepada perbalahan serta konflik berpanjangan seperti berlaku di negara lain,” katanya.- BERITA HARIAN
KOMEN