Home » Citra Yadim » Sabah harap lebih banyak program dari YADIM

Sabah harap lebih banyak program dari YADIM

KENINGAU – Kerajaan Sabah mengalu alukan lebih banyak program berbentuk kemasyarakatan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia di (YADIM) negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Yang Berhormat Rasinin Koutis berkata, menerusi program sedemikian, masyarakat yang menerima bantuan akan merasa dihargai dan tidak dipinggirkan oleh pihak bertanggungjawab.

“Meskipun ada yang anggap sumbangan itu kecil, atau kunjungan kita hanya seketika, tapi hakikatnya ia amat bermakna untuk mereka.

“Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada YADIM dengan penganjuran pelbagai program di Sabah, seterusnya diharapkan program program seperti ini tidak akan berhenti setakat ini saja, malah diteruskan lagi pada masa akan datang, bukan saja di Keningau tetapi seluruh negeri ini,”kata beliau.

Rasinin berkata demikian kepada pemberita ketika program Ziarah Rahmah ke Hospital Keningau di sini sempena Kembara Malaysia Rahmah 2019 Peringkat Negeri Sabah anjuran YADIM serta agensi agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Karnival selama dua hari bermula 22 November itu bertujuan menyantuni masyarakat yang memerlukan dengan turun padang dan bertemu sendiri dengan golongan sasar bagi menyampaikan mesej dakwah dan rahmah.

Hadir sama dalam lawatan ini ialah Timbalan Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin, Pengarah YADIM Sabah, Samin Ongki, Pegawai Daerah Keningau, Hassan Mahali dan Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Baitulmal negeri Sabah, Sainuri Yahmin.

Dalam kunjungan ke Wad Pediatrik dan Wad Pesakit Wanita di Hospital Keningau, YADIM menyantuni seramai 60 pesakit  dengan makanan dan barangan keperluan harian.

Sumbangan diserahkan kepda para pesakit tanpa mengira latar belakang mereka, selaras dengan konsep Islam itu membawa rahmah kepada semua.

Selain itu, YADIM juga menyumbangakn dua unit kerusi roda bagi kegunaan hospital ini. Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah turut menyumbangkan dua unit kerusi roda.

Dalam pada itu Rasinin berkata, pihaknya mengalu-alukan lebih banyak program seperti ini diadakan di Sabah pada masa akan datang dan pihaknya sedia bekerjasama dengan YADIM atau badan lain yang berhasrat berbuat demikian.

Program dalam kembara ini diteruskan ke Sekolah Henry Gurney di sini selepas selesai di Hospital Keningau. Selain sesi tazkirah kepada kira kira 50 pelajar terpilih di pusat pemulihan remaja itu, Zolkharnain turut menyampaikan sumbangan YADIM  berupa barangan keperluan diri  kepada Timbalan Pengarahnya, Penguasa Penjara Alik Makim.

Dalam tazkirahnya, Zolkharnain menerangkan tentang peranan YADIM untuk menyampaikan mesej dakwah dan rahmah kepada semua.

Terdahulu, Alik dalam ucapan aluannya menyatakan pihaknya amat berbesar hati kerana dipilih sebagai salah satu lokasi kunjungan YADIM dalam Kembara Malaysia Rahmah 2019 Peringkat Negeri Sabah.

Serentak dengan program di Hospital Keningau dan Sekolah Henry Gurney, Skuad Cuci Cuci YADIM juga melaksanakan program mereka di Masjid Somad Al Mukhlisin, Kampung Bariawa, Ulu Keningau di sini.

Seramai empat orang anggota skuad berkenaan menghabiskan masa selama lebih dua jam membersihkan kawasan luar dan dalam masjid tersebut bersama penduduk kampung tersebut.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *