KUANTAN – Usaha memantapkan institusi Dana Wakaf akan dapat dilakukan dengan lebih mudah apabila Rang Undang-undang (RUU) berkaitan dibentangkan dan diluluskan tidak lama lagi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata pemahaman terhadap peranan institusi wakaf dalam kalangan masyarakat juga perlu ditingkatkan jika mahu menjadikan Dana Wakaf sebagai antara penyumbang utama kepada kesejahteraan umat Islam di negara ini.
“Ramai orang ingat apabila kita sebut pasal wakaf ini, ia merujuk kepada tanah, al-Quran atau bangunan semata-mata, sedangkan wang juga boleh dijadikan wakaf dengan menyumbang kepada Dana disediakan.
“Paling utama ialah tadbir urus yang baik dan boleh membantu memperkasakan dana itu sendiri, …kita sedang meneliti kandungan RUU berkenaan dan kita cadangkan juga setiap sumbangan (wang) kepada dana itu diberikan pelepasan cukai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Ziarah Tautan Kasih, Santuni Ibu dan Ayah di Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), dekat sini.
Seramai 45 asnaf dan warga emas menerima sumbangan pakaian hari raya, biskut dan duit raya pada majlis itu.
Fuziah yang juga ahli Parlimen Kuantan berkata, RUU itu hanya digunakan di peringkat Wilayah Persekutuan sahaja dan ia akan menjadi model kepada pengurusan institusi wakaf di negeri lain.
“Kita ada Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) yang sedang dilakukan transformasi sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) wakaf dan begitu juga dengan Hospital PUSRAWI juga menyediakan perkhidmatan untuk asnaf mendapatkan rawatan secara percuma.
’Semua ini adalah antara permulaan yang kita sudah buat di peringkat Wilayah Persekutuan dan diharapkan ia dapat dijadikan contoh kepada negeri lain. Sebenarnya, ada juga IPT di negara ini yang memiliki Tabung Endowment dan konsepnya sama dengan (dana) wakaf juga.
“Universiti ternama di dunia seperti Oxford, Britain dan Al-Azhar, Mesir pun diuruskan menggunakan wang sumbangan melalui Tabung Endowment atau Dana Wakaf,” katanya. – Berita Harian
KOMEN