Home » Langit Terbuka » RUU Mufti Wilayah Persekutuan tak ganggu Sabah, Sarawak dan negeri lain – Mufti Sabah

RUU Mufti Wilayah Persekutuan tak ganggu Sabah, Sarawak dan negeri lain – Mufti Sabah

Mufti Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan (MWP) tidak mengganggu Sabah serta Sarawak dan negeri-negeri lain.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata, terdapat segelintir pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa berasal daripada Sabah serta Sarawak menentang RUU ini.

Beliau berkata, NGO itu tidak bersetuju kononnya RUU MWP akan menjadikan ultimatum kuasa kepada mufti sekali gus menjadikan jawatan itu paling berkuasa.

“Ini tanggapan yang salah, saya kira individu yang bercakap itu (dakwaan berkenaan) tidak tahu pun asas perundangan ini.

“Paksi RUU ini tidak akan mengganggu orang bukan Islam, RUU ini hanya memperkasakan orang Islam supaya kita ada satu manhaj akidah yang jelas, satu manhaj yang wasatiyah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, orang Islam dan bukan Islam di Sabah sudah hidup dengan aman damai serta harmoni sejak ratusan tahun.

Sebelum ini, tular dakwaan daripada NGO yang mendakwa berasal daripada Sabah serta Sarawak menolak RUU MWP itu kononnya akan memberi kuasa besar kepada Mufti Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, menerusi konteks negara ini, umat Islam keseluruhannya mempunyai al-Quran serta sunnah yang menjadi tali pengikat perpaduan.

“Setiap negara ada undang-undang peringkat persekutuan, peringkat negeri dan seterusnya, RUU ini adalah penambahbaikan.

“Oleh kerana itu, kalau kita lihat dalam kontrak sosial undang-undang yang ada dalam negara ini, ada penambahbaikan di sana-sini, begitu juga dengan hasrat RUU MWP iaitu untuk menambahbaik perincian sedia ada.

“Apa yang penting adalah kita kekal menjamin keharmonian bersama, kita beradab dalam perselisihan pandangan dan sentiasa hormat menghormati antara satu dengan yang lain,” katanya.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *