PUTRAJAYA: Sebarang perbincangan atau perdebatan mengenai polemik Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 perlu berdasarkan fakta dan ilmu pengetahuan, bukan emosi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata biarpun ada yang menyatakan sokongan terhadap RUU terbabit, masih ada yang menyuarakan pandangan dan hujah secara emosi serta kemarahan.
“Saya menghargai pihak luar ada yang menyokong, ada yang membantah dan sebagainya, tidak mengapa. Saya berharap sangat perbincangan yang diadakan di luar itu, mesti didasarkan fakta dan ilmu pengetahuan, bukan didasarkan kepada emosi.
“Saya juga berharap dalam kita meraikan hujah yang dikemukakan ramai, biarlah secara akhlak yang betul sebab kadang-kadang saya tengok ada yang emosi, dan kemarahannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Agensi Agama Bagi Orang Kurang Upaya (OKU) Muslim, hari ini.
RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 antara tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa lalu.
RUU itu antaranya untuk memberi takrifan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang sudut akidahnya bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiah.
Bagaimanapun, PAS dilaporkan berpandangan RUU terbabit perlu dikaji secara mendalam berikutan terdapat berpuluh mazhab dalam Islam.
Pelan tindakan usaha perkara komuniti OKU
Mengulas mengenai Pelan Tindakan Agensi Agama Bagi OKU Muslim, Mohd Na’im berkata, ia adalah usaha memperkasa komuniti OKU merangkumi aspek kehidupan, akidah, akhlak dan ibadah.
Pelan tindakan itu secara tidak langsung menjadi pendekatan holistik memastikan kehidupan OKU beragama Islam diberikan bimbingan, ilmu agama dan pendidikan Islam yang menepati syariah.
“Usaha membangunkan pelan tindakan ini sudah bermula sejak 2020 diterajui JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan kita harapkan dengan adanya pelan tindakan ini, kita dapat berjalan selari dengan dasar kerajaan berkaitan pengupayaan OKU.
“Kita nak pastikan aspek kerohanian dalam kalangan OKU dapat dipertingkatkan, tidak ada beza antara mereka yang normal dan OKU untuk melakukan ibadah,” katanya.
Pelan tindakan itu menggariskan lima teras, 12 langkah strategi dan 39 program yang komprehensif, bersasar serta berimpak tinggi kepada golongan OKU untuk dicapai dalam tempoh lima tahun.
Lima teras itu ialah memperkukuhkan dakwah OKU, memantapkan penyelidikan dan inovasi pembangunan OKU, memperkasa pendidikan Islam kepada OKU, mengukuhkan institusi kekeluargaan OKU dan meningkatkan sistem sokongan OKU ke arah pembentukan masyarakat prihatin.
KOMEN