Home » Langit Terbuka » RUU Mufti dirujuk Majlis Raja-Raja minggu hadapan – Anwar

RUU Mufti dirujuk Majlis Raja-Raja minggu hadapan – Anwar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perincian mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 2 Julai lalu akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja minggu hadapan.

Perdana Menteri berkata, ketika ini RUU berkenaan dalam proses perbincangan di peringkat pakar.

“RUU Mufti sedang dibincang dan mendengar pandangan, (bagaimanapun) tidak ada pertikaian dalam soal Ahli Sunnah Wal Jamaah dan merujuk (mazhab) Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali serta pandangan lain.

“Cuma kadang-kala perincian itu ada dibincangkan… jadi saya serah kepada pakarnya dan kemudian akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja, minggu depan,” katanya.

Semalam, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah baginda tidak berkenan apabila nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong RUU Mufti (Wilayah Persekutuan).

Perkembangan itu dimaklumkan melalui Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin melalui satu hantaran di Facebook.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, pada 2 Julai lalu membentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat berhubung tiga RUU membabitkan hal ehwal Islam di negara ini.

RUU ini dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua minggu depan di Dewan Rakyat.

RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 merangkumi RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

RUU Mufti itu juga menyenaraikan penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam yang dipengerusikan oleh mufti.

Selain itu, ia mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah, Al-Maturidiah dan fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain iaitu Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali, manakala dari segi tasawuf pula, RUU Mufti berpegang dengan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

RUU itu mendapat sokongan pelbagai pihak, termasuk beberapa mufti, pengamal undang-undang, termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) apabila Presidennya, Musa Awang menegaskan sebarang usaha meletakkan mahkamah syariah kepada satu anjakan paradigma perlu disokong semua pihak, terutama Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, PAS mahu RUU Mufti dikaji secara mendalam dengan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata ia berikutan dalam Islam terdapat berpuluh mazhab.

“Pada pandangan saya, semua ulama tidak benarkan mazhab mereka diisytiharkan sebagai agama negara, sama ada Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Hanbali.

“Hanya Islam sahaja yang menjadi agama negara,” katanya.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *