PETALING JAYA – Enam lagi lelaki, termasuk Presiden Persatuan India Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pelbagai pertuduhan berhubung insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor, menjadikan jumlah yang didakwa seramai 24 orang.
M Manimaran, 38, dan 5 yang lain bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.
Manimaran didakwa atas 3 pertuduhan iaitu menghalang tugas penjawat awam, merusuh dan mencederakan manakala Mohammad Shahril Danniel Sajel, 22, Mohammad Saifullah Abdullah, 31, Muhammad Hasneezam Shah Samsudin, 29, Akmal Izzat Aziz, 24 dan Mohd Norul Ismawi Islahuddin, 40, masing-masing menghadapi 1 pertuduhan iaitu berada dalam rusuhan dengan pelbagai senjata.
Mengikut pertuduhan pertama, Manimaran bersama mereka yang dituduh dan masih bebas didakwa menghalang tugas pegawai dan anggota polis mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 2 tahun dan denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dia turut dituduh bersama 50 lagi anggota kumpulan yang menyalahi undang-undang dan masih bebas, melakukan rusuhan dengan tujuan untuk menghalang laluan kenderaan kereta peronda polis untuk keluar dari kawasan kuil tersebut mengikut Seksyen 147 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Manimaran juga didakwa bersama mereka yang dituduh, dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap Sulaiman Abdullah, 32, mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Mohammad Shahril, Mohammad Saifullah, Muhammad Hasneezam, Akmal Izzat dan Mohd Norul Ismawi didakwa bersama-sama 13 yang dituduh serta beberapa yang masih bebas atas pertuduhan berada dalam rusuhan dan semasa rusuhan itu, semuanya memiliki parang, kapak, pisau dan kayu yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mereka dituduh melakukan semua kesalahan itu di kuil tersebut antara pukul 2 pagi dan 1.30 tengah hari, 26 Nov lepas.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah manakala semua tertuduh diwakili peguam John Das, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, R Sritheran dan Mohd Hezri Shaharil.
Mahkamah membenarkan Manimaran diikat jamin RM18,000 manakala Mohammad Shahril Danniel diikat jamin RM5,000 dan 4 yang lain diikat jamin masing-masing RM6,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis berhampiran 2 kali sebulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 17 Jan untuk sebutan semula kes. FreeMalaysiaToday
KOMEN