Home » Langit Terbuka » Rumah mampu milik masalah utama dunia

Rumah mampu milik masalah utama dunia

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Peruntukan rumah mam­pu milik masih menjadi masalah utama dalam ka­lang­an penggubal dasar di seluruh dunia, dengan Malaysia juga tidak terkecuali, kata Khazanah Research Institute (KRI).

Pengarah Penyelidikannya, Dr. Suraya Ismail berkata, inisiatif dasar Malaysia yang menumpukan bagi memastikan penyediaan perumahan mampu milik, biasa­nya melibatkan pindahan sumber fizikal atau kewangan kepada isi rumah pendapatan rendah.

“Kekurangan sumber itu akan memaksa agensi perumahan kerajaan menumpukan kepada agenda perumahan kecil dan terhad dan berusaha untuk memahami atau menangani sektor perumahan secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenya­taan hari ini yang dikeluarkan ber­sempena Sesi Kesembilan World Urban Forum (WUF9).

WUF 9, yang bermula dari 7 hingga 13 Februari menampilkan ceramah yang dihoskan oleh KRI, bertemakan Making Housing Affordable: Developers or Go­vernment to Play a Bigger Role?, yang menganalisis masalah membekalkan rumah mampu milik daripada perspektif kedua-dua penyusunan institusi (sistem perniagaan nasional) dan firma-firma (analisis rantaian nilai industri dan ekonomi tadbir urus).

Suraya berkata, ketika Malaysia menjadi semakin maju, permintaan terhadap perumahan mampu milik akan meningkat.

Menurutnya, trend itu me­nunjukkan kedua-dua golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah dan 40 peratus sederhana dijangka memerlukan beberapa bentuk perumahan sosial sekiranya campur tangan re­le­van tidak dibuat dengan segera.

Campur tangan dalam pasaran perumahan kebanyakannya dalam bahagian permintaan, dengan menjadikan pembiayaan rumah lebih murah atau menyediakan subsidi bagi pembeli rumah, katanya.

“Pakej pembiayaan canggih/inovatif dan pindahan tunai disediakan kepada pembeli rumah untuk membeli rumah yang mereka mampu dan campur tangan dalam bahagian bekalan adalah dengan penyediaan terus rumah kos rendah atau memberi subsidi kos perumahan,” kata Suraya.

Beliau berkata, langkah-langkah ini tidak mampan kerana ia boleh mendorong kenaikan harga, menyebabkan isi rumah lebih banyak berhutang dan kos peluang yang perlu ditanggung kewangan kerajaan yang sepatutnya boleh digunakan bagi meningkatkan lagi produktiviti.

“Dasar sekarang menumpukan kepada mengawal harga rumah apabila pengguna menerimanya pada akhir proses pengeluaran.

“Pilihan dasar kita dilaksanakan berbeza kerana bukti me­nunjukkan ia lebih efisien untuk meningkatkan kapasiti dalam bahagian bekalan bagi memba­ngunkan sektor perumahan yang mampan dan responsif yang menyediakan kepada semua bahagian penduduk,” katanya.

WUF9 menumpukan kepada pelaksanaan Agenda Urban Baharu yang diguna pakai pada 2016 kerana ia merupakan platform penting untuk menyediakan input bagi laporan pertama pelaksanaan agenda tersebut. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

RUU Mufti bukan sesuatu yang baru dan radikal

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 bukanlah akta atau undang-undang baharu dan radikal. Mantan Ketua Hakim Negara Tun Abdul

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *