IPOH – Hukuman berat ke atas pemandu mabuk boleh dilaksanakan berdasarkan maqasid syariah (tujuan syariat) yang menekankan keselamatan agama, penjagaan nyawa, akal, keturunan dan harta.null
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, dengan kes kematian disebabkan pemandu mabuk semakin meningkat, semua pihak sepatutnya memahami prinsip memelihara nyawa itu adalah penting.
“Syariat Islam datang antaranya untuk menjaga nyawa kerana nyawa sangat penting dalam kehidupan, maka apa juga perkara yang boleh membahayakan nyawa adalah ditegah oleh Islam.
Islam mengharamkan arak kerana ia merosakkan akal sedangkan penjagaan akal adalah salah satu daripada maqasid syariah.
“Dalam kes pemanduan mabuk ini, sudah banyak nyawa melayang begitu sahaja, jadi seharusnya satu hukuman berat perlu dikanunkan agar nyawa pengguna jalan raya terus terpelihara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Katanya, kerajaan juga boleh mempertimbangkan hukuman yang mengkehendaki pesalah menanggung kos hidup dan pembelajaran anak-anak mangsa, sekiranya melibatkan kematian ketua isi rumah.
“Ini boleh dianggap satu pembelaan serta menegakkan keadilan untuk mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat dengan kemalangan akibat perlakuan pemandu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Zamri turut menjelaskan, penyelesaian Islam berhubung isu pemandu mabuk ini adalah lebih menyeluruh iaitu melihat kemudaratan arak itu sendiri yang merosakkan akal dan punca segala kemaksiatan serta kerosakan di muka bumi ini. – Sinar Harian
KOMEN