SUNGAI PETANI – Potensi ilmu dan kedudukan diri sebagai seorang mahasiswa perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh para mahasiswa hari ini dalam melestari Gerakan dakwah, tegas Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasrudin Hassan.
Menurutnya, dua kelebihan ini seharusnya tidak diabaikan dan perlu dimanfaatkan oleh para mahasiswa.
“Sebagai mahasiswa kalian dihormati dan disegani ramai, contohnya apabila pulang ke kampung, masyarakat pandang tinggi, gunakan ini untuk jalankan usaha dakwah, “ ujar beliau di majlis penutup Konvensyen Kebangsaan Rakan Siswa YADIM (RSY) 2022 di di sini pada 13 Mac.
Hadir sama ke majlis penutup ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, Pengarah Kanan Sektor Pengurusan YADIM, Suhaila Sahibul Ghani, Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda YADIM, Shahrizal Mat, Pengarah YADIM Kedah, Ustaz Mohd Aizat Zakaria, Presiden Majlis Pimpinan Tertinggi RSY, Muhammad Ikram Mohd Zulkepli dan kepimpinan badan tersebut.
Dalam ucapannya juga, Ustaz Nasrudin menyeru agar ahli ahli RSY tidak berbalah dalam berdakwah.
Menyifatkannya sebagai sia sia, Ustaz Nasrudin menegaskan ada banyak lagi kaedah, ruang dan peluang berdakwah yang perlu dimanfaatkan.
Ucapannya dalam majlis penutup ini juga diselitkan kata kata semangat kepada ahli ahli RSY yang hadir.
Konvensyen Kebangsaan Rakan Siswa YADIM 2022 ini berlangsung selama tiga hari bermula 11 Mac dan dihadiri seramai 182 ahli Rakan Siswa YADIM dari universiti dan politeknik seluruh negara.
KOMEN