Home » Langit Terbuka » Rohingya perlu dilayan sebagai rakyat atau diberi wilayah sendiriĀ 

Rohingya perlu dilayan sebagai rakyat atau diberi wilayah sendiriĀ 

Lebih 700,000 etnik Rohingya kebanyakannya beragama Islam, diusir dari Myanmar ekoran operasi diterajui tentera. - Foto Kosmo

KUALA LUMPUR – Etnik Rohingya seharusnya dilayan sebagai rakyat Myanmar atau diberikan wilayah sendiri untuk membentuk negeri, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, meskipun Malaysia secara amnya tidak mahu campur tangan dengan masalah dalaman negara lain, tetapi ia terpaksa berbuat demikian disebabkan pembunuhan beramai-ramai dan penghapusan etnik yang berlaku di Myanmar.

Myanmar, pada masa dulu terbentuk daripada banyak negeri.

“Bagaimanapun, British memutuskan untuk memerintah Myanmar sebagai sebuah negara dan disebabkan itu, banyak etnik dimasukkan di dalam negara Burma.

“Dan sudah tentu ketika ini, mereka seharusnya dilayan sebagai warganegara atau dipulangkan wilayah mereka untuk membolehkan mereka membentuk negeri,” katanya dalam temuramah dengan agensi berita Anadolu di Ankara ketika lawatan empat harinya ke Turki.

Pada 2017, lebih 700,000 etnik Rohingya kebanyakannya beragama Islam, diusir dari negeri Rakhine ekoran operasi diterajui tentera, tindakan yang menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk pembunuhan dan wanita menjadi mangsa rogol beramai-ramai.

Bekas Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia PBB Zeid Ra’ad al-Hussein memberitahu Majlis Hak Asasi Manusia, episod itu adalah ‘contoh buku teks pembersihan etnik’, menurut laman web PBB.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai penderitaan etnik Uyghur di China, Dr Mahathir berkata, Malaysia sentiasa mendokong penyelesaian sebarang konflik menerusi rundingan, timbang tara atau kedaulatan undang-undang.

“Kita seharusnya memberitahu China bahawa tolong layan mereka seperti warganegara. Meskipun berbeza agama, ia tidak seharusnya mempengaruhi layanan terhadap mereka.

“Apabila anda memilih keganasan, maka pasti amat sukar untuk mencari penyelesaian terbaik kerana tidak pernah ada kes di mana keganasan berakhir dengan kejayaan mencapai objektif,” katanya.

Mengulas mengenai perjuangan Turki menentang pengganas Pertubuhan Fetullah (FETO) di dalam dan luar negara itu, Dr Mahathir berkata, Malaysia tidak menyokong sebarang kebangkitan di mana-mana negara.
“Memang dasar kita tidak mahu dijadikan pangkalan untuk sebarang tindakan ke atas negara lain.

“Atas alasan ini, kita menutup sekolah (yang berkaitan dengan FETO) apabila mendapati ada cubaan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk pemberontakan terhadap kerajaan Turki,” katanya.– Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *