Home » Langit Terbuka » Rohingya : Pembunuhan beramai-ramai memang berlaku

Rohingya : Pembunuhan beramai-ramai memang berlaku

GENEVA 18 Dis. – Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zeid Ra’ad al-Hussein berkata beliau tidak terkejut se­ki­ranya mahkamah suatu hari nanti memutuskan berlakunya pembunuhan beramai-ramai terhadap masyarakat minoriti Ro­hingya Islam di Myanmar.

Menurut Zeid Ra’ad kepada stesen berita BBC, serangan ke atas Rohingya telah dirancang dan beliau menggesa pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi me­laksanakan tindakan lebih tegas untuk menghentikan perbuatan terbabit.

Zeid Ra’ad menyifatkan krisis itu sebagai satu contoh penghapusan etnik dan bertanya secara sinis andainya sesiapa boleh menolak unsur pembunuhan beramai-ramai berkaitan tindakan ten­tera Myanmar tersebut.

“Anda tidak boleh mengabaikan wujudnya unsur pembunuhan beramai-ramai.

“Tetapi saya tidak terkejut jika suatu hari nanti mahkamah membuat keputusan berdasarkan apa yang kita lihat sekarang,” katanya berdasarkan petikan temu ramah dikeluarkan oleh BBC.

Hampir 870,000 orang Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh sejak 25 Ogos lalu.

Tambah Zeid Ra’ad, beliau khuatir tindak balas Myanmar sebelum ini akan membuatkan krisis sedia ada bakal membuka fasa baharu kepada konflik lebih teruk.

“Penubuhan kumpulan pembe­rontak berkemungkinan boleh berlaku di kem pelarian di Bangladesh dan sasaran mereka adalah Myanmar, terutamanya ke arah kuil Buddha di negara itu,” jelasnya.

Myanmar sebelum ini menafikan tindakan mereka ke atas Ro­hingya selain turut membidas kritikan PBB kerana bersifat politik dan berat sebelah.

Dalam perkembangan berkai­tan, tentera Myanmar membakar berpuluh-puluh rumah Rohingya, beberapa hari selepas mereka menandatangani perjanjian penghantaran semula etnik tersebut ke negara itu.

Organisasi Human Rights Watch berkata, tindakan itu sekali gus mencerminkan perjanjian yang di­tandatangani adalah gimik Myanmar semata-mata. – Agensi, UTUSAN MALAYSIA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *