ALOR SETAR 2 Dis. – Badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam di utara tanah air bersepakat mengecam kekejaman yang dilakukan terhadap etnik Rohingya dan mahu satu tindakan konkrit diambil segera membantu mereka.
Ketetapan itu dicapai hasil daripada program Halaqah Ilmi NGO-NGO Islam yang telah diadakan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Utara pada 27 November lalu.
Eksekutif Kanan YADIM Zon Utara, Zuhri Hussain berkata, dalam program itu sembilan NGO Islam yang berpusat di Kedah mahu kekejaman terhadap orang Islam di Arakan, Myanmar itu dihentikan segera kerana ia terang-terangan bertentangan dengan hak asasi manusia.
“NGO Islam di sini kesal dengan apa yang terjadi dan menyatakan pendirian tegas terhadap isu Rohingya dan menolak kekejaman yang dilakukan terhadap umat Islam Rohingya di Arakan,’’ katanya.
Halaqah Ilmi berlangsung di Dewan Mesyuarat Lembaga Kemajuan Perempuan Islam (Kedah) dan dipengerusikan oleh Pengerusi LKPI Kedah iaitu Datuk Hajah Daharah Ismail.
Zuhri berkata, dalam program itu, setiap NGO juga telah melaporkan berkaitan program-program yang telah dilaksanakan oleh setiap NGO-NGO pada bulan November.
“ Selain itu, perbincangan berkaitan beberapa program yang akan dilaksanakn pada tahun hadapan secara bersama di antara NGO-NGO yang terlibat di dalam Halaqah Ilmi,’’ katanya.
Halaqah Ilmi diadakan denagn tujuan mempereratkan hubungan silaturahim YADIM dan NGO Islam, menyelaras kerjasama, sokongan dan kepakaran daripada MAIM (Majlis Amal Islami Malaysia) serta menyampaikan pandangan akar umbi masyarakat yang diwakili oleh NGO Islam.
KOMEN