KUALA TERENGGANU 17 Mei – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Timur telah mengadakan program `Roadshow Dakwah 3.0’ pada 12 Mei sebagai salah usaha menjadikan program dakwah bersifat lebih terbuka dan dapat mendekati masyarakat secara lebih menyeluruh.
Eksekutif Kanan YADIM Zon Timur, Nasrul Hadi Saidain berkata, dalam program itu satu slot ceramah disediakan dengan membawa topik ” Keluarga Sakinah, Mawaddah Warahmah ” bertempat di Pentas Utama, K.T Walk, Kuala Terengganu.
“Program ini diadakan di suatu lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai dan ini sekaligus memberikan peluang kepada orang ramai mendengar satu topik perbincangan yang penting iaitu berkaitan institusi keluarga,’’ katanya.
Beliau menjelaskan, program itu menampilkan Dai`e Muhammad Nasrul Nizam Zamry selaku penceramah dan Ustaz Mohd. Suhaimi Endut sebagai moderator serta disulami dengan persembahan pemuzik busker, KT Busker yang mendendangkan 10 buah lagu.
Menurutnya, pendekatan yang digunakan dalam program berkenaan menarik perhatian golongan muda supaya lebih dekat dengan nilai-nilai Islam sekaligus menzahirkan kempen sayangi agama dan tanahair.
“Selain itu, program ini mengenengahkan satu konsep dakwah yang berlainan dan sekaligus mewujudkan kepelbagaian aktiviti dakwah melalui kolaborasi bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam,’’ katanya.
Beliau berkata, dengan pendekatan ceramah di kawasan terbuka itu, mesej-mesej dakwah itu dapat disampaikan kepada pelbagai golongan sasaran termasuk peniaga, pengunjung serta golongan muda.
Menurutnya, program ini dilaksanakan oleh YADIM Zon Timur secara kerjasama dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Aman Palestin Terengganu serta dibantu oleh sukarelawan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
KOMEN