KUALA LUMPUR – Kadar zakat fitrah wajib di Wilayah Persekutuan pada tahun ini ditetapkan sebanyak RM5, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Beliau berkata selain itu, kadar RM7 dan RM14 ditetapkan kepada mereka yang berkemampuan dan bergantung kepada jenis beras yang dimakan.
“RM5 iaitu kadar wajib dan minimum berdasarkan nilai beras Super Tempatan Gred (15 peratus kandungan beras hancur), RM7 bagi pengguna beras Super A (lima peratus kandungan beras hancur) dan RM14 untuk pengguna beras Super Import dan Basmathi biasa.
“Mereka (pembayar zakat) boleh pilihlah (kadar bayaran zakat fitrah), ini berdasarkan kepada jenis beras yang mereka makan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian bantuan Ihya’ Ramadan dan watikah pelantikan ketua amil serta amil zakat fitrah tahun 2021 di sini, pada 6 April.
Pembayaran zakat fitrah katanya boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman rasmi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di www.maiwp.gov.my; dan juga aplikasi pembayaran yang lain seperti ePay MAIWP, SnapNPay, e-wallet Boost, JomPay dan laman sesawang fitrah.zakat.com.my.
Bagi pembayaran secara bersemuka, seramai 909 amil dilantik dan akan berada di banyak lokasi di seluruh Wilayah Persekutuan. – BERNAMA
KOMEN