MAIWP biayai 1,806 asnaf hidap penyakit kronik
KUALA LUMPUR 14 Jun – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membiayai 1,806 asnaf yang menghidap pelbagai penyakit kronik melalui skim bantuan perubatan am dan peralatan kesihatan melibatkan kos RM4.12 juta sehingga Mei lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 514 pesakit buah pinggang dibantu untuk menjalani rawatan hemodialisis yang melibatkan kos rawatan antara RM2,500 hingga RM3,500 sebulan.
“Kos rawatan dan peralatan kesihatan yang tinggi sudah tentu membebankan golongan yang kurang berkemampuan. Bayangkanlah pesakit tersebut perlu menjalani rawatan berterusan, sudah pasti mereka tidak mampu menampung kos tersebut.
“Justeru, melalui skim bantuan perubatan MAIWP, mereka dapat dibantu melalui kategori rawatan hemodialisis, peralatan kesihatan dan perubatan am,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kebajikan Hospital di Wilayah Persekutuan dan Sumbangan Aidilfitri kepada pesakit 2016 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini hari ini.
Jamil Khir berkata, sebanyak RM800,000 diperuntukkan MAIWP untuk tabung-tabung kebajikan hospital-hospital dalam usaha membantu para pesakit yang kurang berkemampuan.
“Sebanyak sembilan hospital diberikan bantuan termasuk PPUM menerima sumbangan sebanyak RM150,000; Hospital Kuala Lumpur (HKL) (RM150,000); Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) (RM150,000); Hospital Putrajaya (RM100,000); Institut Jantung Negara (IJN) (RM100,000); Bank Kanta Intraokular Kebangsaan (RM50,000); Majlis Kanser Nasional (RM50,000); Hospital Angkatan Tentera Tunku Mizan (HATTM) (RM25,000) dan Hospital Rehabilitasi Cheras (RM25,000),” katanya.
Beliau berkata, usaha mengagihkan wang zakat kepada lapan golongan asnaf akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap individu yang layak menerima hak masing-masing. UTUSAN
KOMEN