Home » Langit Terbuka » Risaukan anak, isteri punca saya hijrah – Ali Terrarosa

Risaukan anak, isteri punca saya hijrah – Ali Terrarosa

Ali memberitahu penghijrahan sebenar dirinya didorong oleh kerisauan yang semakin menebal terhadap anak dan isteri yang kerap ditinggalkan ekoran terlalu sibuk dengan persembahan di serata tempat - Utusan

KUALA LUMPUR – Menyedari dirinya perlu berubah demi kebaikan keluarga, Ali XPDC atau nama sebenarnya Mohd. Ali Ismail bertekad melakukan penghijrahan ke arah yang lebih baik untuk mengenali agama.

Penghijrahan sebenar dirinya didorong oleh kerisauan yang semakin menebal terhadap anak dan isteri yang kerap ditinggalkan ekoran terlalu sibuk dengan persembahan di serata tempat.

Jelas Ali, keputusan segera perlu diambil demi sebuah perubahan serta dia percaya orang yang harus memulakan perubahan itu adalah dirinya sendiri sebelum anak dan isterinya.

“Jarang persembahan balik petang, pergi pagi balik malam atau kadang-kadang dua tiga hari baru balik. Setiap kali balik malam, buka pintu tengok keadaan anak dan isteri. Dalam hati saya masya-Allah anak-anak semua dah besar.

“Tetapi dalam dalam tengok tu ada satu kerisauan dalam hati, kerisauan itu membuatkan saya terfikir anak ni besar nak jadi apa? Adakah nak jadi rockers macam ayah dia,” katanya di majlis Tamankan Hati Keluarga Utusan di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Bhd. di sini.

Tamankan Hati Keluarga Utusan yang telah memasuki sesi lima itu menampilkan Ali bersama rakan artisnya Mel sebagai panel untuk berkongsi inspirasi penghijrahan mereka.

Tambah penyanyi rock yang terkenal dengan lagu Bunga Angkasa itu, dia turut mendapatkan bantuan rakan dan beberapa orang ustaz untuk membantunya mengenal jalan Allah.

“Ada kawan bantu saya bawa pergi majlis ilmu dan Alhamdulillah saya berubah perlahan-lahan. Sehinggalah saya berjumpa dengan seorang ustaz dan minta dia bantu saya untuk berubah.

“Ustaz tu tinggalkan empat perkara sebagai pesanan dan pegangan kepada saya iaitu supaya saya jaga solat, perbanyakkan sedekah, perbanyakkan hadir majlis-majlis ilmu dan akhir sekali supaya saya berkhidmat dan berkasih sayang dengan ibu bapa,” tambahnya. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *