PUTRAJAYA 2 Mac – Program Reviving The Islamic Spirit (RIS) disifatkan sebagai konvensyen Islam yang paling berjaya terutama dalam konteks menarik golongan muda Islam, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr. Yusri Mohamad.
Beliau berkata, program berkenaan yang diasaskan di Kanada 15 tahun yang lalu sememangnya bersesuaian dengan citarasa anak-anak muda kerana ia bukanlah konvensyen yang bersifat akademik tetapi program ilmu yang bersifat santai.
“Justeru, tidak hairanlah program ini begitu berjaya dalam menarik perhatian peserta terutama golongan muda kerana penyampaian dalam bentuk santai tetapi dalam masa yang sama ceramah yang disampaikan penuh dengan motivasi dan inspirasi,’’ katanya pada siding media di sini hari ini.
Sidang media hari adalah mengenai program RIS yang bakal diadakan pada 4 dan 5 Mac depan dan merupakan kali pertamanya diadakan di luar Kanada.
Program ini bakal menghimpunkan tokoh-tokoh Islam terkemuka dunia termasuk Sheikh Hamza Yusuf, Imam Zaid Shakir, Imam Khalid Latif, Imam Siraj Wahhaj, Sheikh Muhammad Ninowy dan Dr. Umar Faruq Abd-allah yangh turut hadir pada sidang media hari ini.
Pada RIS kali ini turut disampaikan adalah penghargaan kepada cendiakawan Malaysia, Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas di atas sumbangan yang telah diberikannya.
Dr. Yusri berkata, program berkenaan adalah sebuah program berbayar tetapi telah berjaya menarik penyertaan 3,000 orang termasuk hampar separuhnya adalah penyertaan daripada luar negara.
“Penyertaan dari luar negara adalah kira-kira 45 peratus dan ini termasuk dari negara-negara seperti Australia, Singapura, Brunei, Indonesia, Filipina, Britain, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Hong Kong, Mauritius, Emiriyah Arab Bersatu, New Zealand, Perancis, India, Belanda dan beberapa negara lain,’’ katanya.
Sementara itu, Dr. Umar Faruq berkata, pemilihan Malaysia sebagai lokasi RIS kali ini adalah kerana pihaknya mahu mempelajari pengalaman Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang mempunyai masyarakat yang begitu aktif dalam program Islam.
“Kami datang ke sini adalah untuk belajar dan mendapatkan manfaat daripada negara yang begitu indah ini dan kami amat-amat berbesar hati berada di Malaysia dan amat menghormati negara ini,’’ katanya.
KOMEN