Home » Wacana » Rindu Yang Terindah

Rindu Yang Terindah

HATI Aqeel meronta-ronta – tidak sabar untuk melihat kaabah secara ‘live’ di depan mata, selama ini gambar arah kiblat umat Islam seluruh dunia itu sekadar mampu dijadikan wall paper telefon bimbit dan laptopnya sahaja. Siang dan malam dia berdoa supaya terpilih secara eksklusif menjadi tetamu Allah. Alhamdulillah doanya seakan dimakbulkan apabila segala perancangan berjalan lancar.

Dia telah membuat persiapan rapi termasuk tempahan tiket, pakej, sertai kursus, pakaian dan beg semuanya diletakkan dalam sudut khas di rumahnya. On je terus angkat, tak perlu kemas-kemas lagi. Pelbagai doa apabila melaksanakan ibadah di sana nanti diulang baca untuk pastikannya ‘cair’ di mulut. Meskipun umrah ini adalah yang pertama tetapi dia mahu pastikan musafir penyucian jiwa itu dimartabatkan sebagai yang terbaik.

Sekarang dia hanya perlu menunggu panggilan telefon sahaja daripada wakil syarikat umrah A untuk mengesahkan tarikh penerbangan ke Tanah Suci. Bagaimanapun langit tidak selalunya cerah, bukannya pengesahan tarikh berlepas yang diterima tapi sebaliknya berita penangguhan yang disampaikan. Aqeel redha dan rela, semuanya pasti ada hikmah, katanya untuk menenangkan hati. Penangan pandemik Covid-19 amat hebat, bukan sahaja Mekah dan Madinah terjejas tetapi ia hampir melumpuhkan seluruh dunia.

Kerinduan Aqeel semakin membuak-buak. Perasaan itu tidak pernah luntur. Dia secara istiqomah memunajatkan doa agar segalanya dipermudahkan urusan oleh Allah.
Meskipun telah banyak negara dilawati namun hasrat untuk kembali melancong ke negara-negara berkenaan tidak sekuat perasaan untuk menjejai kaki ke Mekah, walaupun ia adalah kali pertama. Allahuakbar, betul apa yang disampaikan oleh para ustaz dan hasil bacaan bahawa Mekah dan Madinah adalah bumi bertuah yang dirahmati dan diberkati Allah sehingga akhirat, detik hati Aqeel.

Rindu yang terindah inilah yang dikupas dalam program live streaming Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Mutiara Minda bersama ahli panel tersohor, Pendakwah bebas, Datuk Dr. Norhafizah Musa dan Masnira Ramli (ahli panel yang menetap di Arab Saudi sejak kira-kira 9 tahun lalu) yang dikendalikan oleh Daie Nur Afiqah Mahmud sebagai moderator.

Norhafizah berkongsikan panduan dan bimbingan bagi merungkaikan kerinduan yang teramat sangat itu sambil menyelitkan kisah-kisah pengalamannya bermusafir menunaikan ibadah umrah dan haji ke Tanah Suci itu.

Beliau juga antara lain menukilkan beberapa kelebihan Mekah dan Madinah berdasarkan dalil al-Quran dan hadis sahih, antaranya: Rasulullah SAW bersabda: “Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada 1,000 solat di tempat lain melainkan masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100,000 solat di tempat lain”. [Riwayat Ahmad (15271)] [Sanadnya adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika beliau mentakhrijkan hadith ini dalam musnad Ahmad]

Antara panduan dikongsikan oleh pendakwah bebas ini yang turut menyelitkan tentang hidangan istimewa tengah harinya pada hari itu, siput sedut masak lemak cili api tapi terlupa untuk dipotong bahagian atas cengkerang menyebabkan siput itu tak boleh disedut, ialah:

* Kepada bakal haji yang tidak dapat menunaikan haji tahun ini perlu ingatkan diri tentang kehadiran bulan Zulhijjah iaitu bersedia untuk melipatgandakan ibadah dari 1 – 10 Zulhijjah.

“Sila semak kalendar jangan ingat tentang Julai sahaja tapi kena juga tengok bulan Islam, buat persiapan awal, sila tandakan hari-hari besar itu. Tidak dapat pergi Haji, bukan bermakna kita terhalang daripada melakukan ibadah. Pesanan bukan khusus kepada bakal Haji sahaja tapi turut terpakai kepada orang lain.

“Tempoh 1 – 10 Zulhijjah itu buatlah yang terbaik, pelbagaikan amalan soleh, banyakkan istighfar minta dijauhkan daripada azab neraka,” katanya sambil turut menyelit tentang cengkerang siput itu yang dipotong hanya selepas hidangan selesai dimasak.

Sementara itu, Masnira memaklumkan bahawa pandemik Covid-19 di Kota Mekah dan sekitar masih meningkat saban hari, namun masih terkawal ekoran daripada langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Seperti kita semua sedia maklum Mekah atau Masjidilharam adalah satu kota yang tidak pernah ‘tidur’, sejak saya menetap di sini kira-kira sembilan tahun lalu ia sepanjang masa 24 jam tidak pernah sunyi daripada kehadiran manusia seluruh dunia yang beribadah.

“Tapi kali ini, hati amat sedih, hiba sangat, tiada lagi pemandangan manusia melaut yang datang. Sepatutnya sekarang ini dah sibuk dengan jemaah Haji. Beratnya ujian ini, kami sekeluarga amat dekat dengan Kaabah tapi tak dapat pergi. ‘Dekat tapi jauh’,” katanya yang mempunyai tiga cahaya mata.

Beliau menetap di Mekah sejak 2011 menemani suaminya yang terlibat sebagai consultant bagi pembesaran Masjidilharam bagaimanapun berkata: “Alhamdulillah penduduk tempatan dapat menerima langkah ‘lockdown’ kerajaan. Mereka menerimanya dengan tenang kerana menyedari maslahatnya yang lebih besar, malah langsung tiada ‘panic buying’ keperluan harian dalam kalangan penduduk tempatan.”

Masnira yang juga seorang penulis buku berkeyakinan penuh bahawa segala yang berlaku khususnya pandemik Covid-19 hingga menyebabkan Mekah sunyi daripada manusia mempunyai hikmah yang begitu besar.

“Tempat ibadah utama umat Islam ini amat istimewa di sisi Allah dan Rasul-Nya. Saya yakin Allah bakal mengurniakan sesuatu yang lebih besar kepada kita semua. Saya harap umat Islam di Malaysia amnya dan seluruh dunia khususnya jangan berhenti daripada memunajatkan doa agar keadaan kembali normal seperti sediakala.

Ahmad Tarmizi Abdul Rahim ialah mantan Pengarang Meja Agama Utusan Malaysia.            Berpengalaman kuas dalam bidang kewartawanan, beliau kini menulis dan berkongsi pengalamannya di pelbagai platform

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *