Home » Muamalah » Riba dari kaca mata Islam

Riba dari kaca mata Islam

Amalan riba dalam kegiatan ekonomi bukan merupakan suatu perkara yang baru. Amalan riba telah wujud sebelum kelahiran Islam lagi. Orang Yahudi yang tinggal di Madinah telah menjadikan sistem riba dalam urusan perniagaan dan perdagangan dengan orang Arab. Oleh itu, orang Arab Madinah telah dikuasai oleh orang Yahudi dalam kehidupan ekonomi mereka. Ini telah menyebabkan mereka hidup dalam kemiskinan dan tertindas dengan bebanan hutang yang kian bertambah dan meningkat.

Memerangi amalan riba

Setelah orang Arab Madinah memeluk agama Islam dan Bandar itu dikuasai oleh orang Islam di bawah pimpinan Nabi Muhammad s.a.w. baginda telah memerangi amalan riba. Baginda telah menegah orang-orang Islam daripada melakukan kegiatan ekonomi yang berbentuk riba. Secara beransur-ansur kehidupan orang Arab Madinah telah terlepas daripada cengkaman sistem dan amalan riba itu.

Mereka pun menuju ke arah kehidupan yang sempurna yang berteraskan perpaduan dan kerjasama. Dengan itu, mereka telah berusaha dengan gigih untuk membina sebuah negara yang aman dan makmur. Bagi umat Islam, sikap memusuhi riba ini semakin bertambah kuat dan menyeluruh apabila sampai wahyu Allah s.w.t. kepada Rasul-Nya. Wahyu itu menerangkan kesan bala yang akan menimpa mereka yang mengamalkan sistem ini apabila dibangkitkan di akhirat kelak sebagaimana yang diterangkan dalam al-Quran (Surah al-Baqarah ayat 275) yang bermaksud seperti berikut:

“Orang yang memakan (mengambil) riba tidak dapat bangun melainkan seperti bangunnya orang yang kemasukan syaitan lantaran gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat) sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba’ pada hal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Maka orang yang telah sampai kepadanya  larangan daripada Tuhan, yang telah diamal dahulu (sebelum larangan) dan urusannya terserah kepada Allah. Dan barang siapa yang kembali (mengamalkan riba selepas larangan), maka orang itu adalah penghuni neraka dan mereka kekal di dalamnya.”

Pengertian Riba

Dalam bahasa Arab, perkataan riba membawa maksud lebih ataupun bertambah. Mengikut hukum syarak, riba membawa pengertian akad yang terjadi dengan pertukaran barangan yang tertentu. Mengikut hukum syarak, riba merupakan bayaran kembali terhadap sesuatu pinjaman yang dibayar secara lebihan yang diperolehi oleh peminjam. Bayaran itu dilakukan melalui pertukaran barangan yang sejenis ataupun mata wang yang serupa seperti gandum dengan gandum, beras dengan beras. Tindakan jual beli atau pertukaran barangan terhadap bahan-bahan itu kalau sama jenisnya.

Islam Mengharamkan RIba

Islam memandang berat terhadap perbuatan riba dalam kegiatan ekonomi dan pengharamannya amat tegas. Sikap Islam ini bertujuan mengamal dan memelihara kepentingan manusia seluruhnya dari segi akhlak kemasyarakatan dan juga ekonomi. Para ulama Islam telah menyingkap beberapa rahsia di sebalik pengharaman itu. Riba itu bermakna melakukan perbuatan dengan mengambil harta manusia tanpa memberi sebarang ganti. Orang yang menjual mata wang satu dirham dengan dua dirham bermakna pihak yang mengambil lebih daripada satu dirham tanpa memberi sebarang ganti.

Jelasnya, harta manusia itu keperluannya adalah mutlak yang mempunyai kehormatan, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud sebagaimana berikut:

“Kehormatan harta manusia itu serupa dengan kehormatan dirinya.”

Dengan berpegang kepada riba akan menyekat manusia daripada mancari rezeki dengan jalan yang membina. Orang yang memakan riba dengan memberi pinjam satu dirham mendapat dua dirham dengan memperolehi pendapatan yang berlebihan dengan jalan riba. Ia tidak perlu berusaha untuk mencari nafkah hidup daripada sumber tenaga kehidupan yang membina dengan menggunakan tenaga, fikiran, berniaga dan membuka perniagaan yang mendatangkan faedah bersama masyarakat. Kaedah ini amat diperlukan dalam pembangunan masyarakat.

Riba juga boleh menyebabkan terputusnya hubungan baik antara orang yang meminjam dengan peminjam. Dengan mengamalkan riba akan membawa kehancuran terhadap kebajikan di kalangan orang ramai dalam masalah pinjam –meminjam. Pembayaran pinjaman satu dirham dengan membayar dua dirham dalam amalan riba akan menimbulkan kesusahan kepada peminjam dan terputusnya rasa saling bantu-membantu dan kerjasama di kalangan masyarakat.

Hukum Riba

Berhubung dengan soal hukum riba, semua orang dalam pengurusan peminjaman adalah terlibat dalam kegiatan riba. Mereka itu terdiri daripada peminjam, penerima hutang dan juga mereka yang mengendalikan pinjaman itu sendiri. Dalam Islam, hukum riba adalah jelas dan merupakan dosa besar dan tidak dapat dipertikaikan lagi. Dari segi hukum syarak juga, riba tetap haram. Mereka yang melakukan riba adalah penghuni neraka dan mereka akan kekal di dalamnya.

Keburukan Riba

Amalan riba telah membawa banyak keburukan dalam kehidupan manusia, sebagaimana yang berikut:

  1. Mengikut sistem riba, peminjam yang kaya akan menjadi bertambah senang lagi. Mereka yang meminjam akan menjadi bertambah susah dan terdesak lagi.
  2. Masyarakat Jahiliah di Mekah semasa Rasulullah s.a.w telah hidup dalam porak-peranda disebabkan oleh amalan riba.
  3. Faedahnya akan berlipat ganda jika orang yang meminjam itu tidak dapat menjelaskan hutangnya.
  4. Mungkin mereka akan terpaksa menggadaikan harta benda yang ada. Mereka juga boleh menjadi hamba kerana tidak dapat membayar hutang.
  5. Mereka yang kekurangan patut diberi segala bantuan yang diperlukan. Tetapi peminjam wang sanggup menindas dan menghimpit mereka yang sedang hidup dalam kesusahan.
  6. Sistem riba ini menghancurkan akhlak yang terpuji dan menukarkannya kepada sifat-sifat tidak bertimbang rasa dan tidak berperikemanusiaan.
  7. Peminjam wang memeras dan menindas golongan yang memang telah berada dalam kemelaratan dengan mengenakan faedah yang tinggi.
  8. Amalan riba merupakan masalah sosial yang amat besar mara bahayanya.
  9. Allah s.w.t. mengharamkan riba bukan sahaja kerana ia membawa kesan yang buruk dari segi ekonomi malah dari sudut akhlak dan keimanan.
  10. Keharmonian masyarakat akan turut terancam kerana Allah telah mengharamkannya untuk memelihara keselamatan dan keamanan masyarakat manusia seluruhnya.
  11. Sehubungan dengan ini, beberapa ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w jelas menerangkan akibat yang akan diterima oleh pengamal riba dan antara hadisnya yang maksud seperti berikut:

 

“Apabila seseorang menjual dirham dengan dua dirham sesungguhnya ia melakukan riba, apabila seseorang bekerja dengan tipuan ia telah melakukan riba, ia telah menipu Allah dan mengambil ayat Allah sebagai gurauan.”

  1. Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud sebagaimana berikut:

“Empat orang yang merupakan hak Allah s.w.t. untuk tidak memasukkannya ke dalam syurga dan merasai kenikmatan, iaitu peminum-peminum yang memabukkan, pemakan riba dan harta anak yatim tanpa hak dan penderhakaan kepada kedua-dua ibu bapa.”

  1. Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud seperti di bawah ini:

“Ahli riba tidak bercahaya dan tidak berseri mukanya dan pula Allah tidak memberi berkat rezeki. Di sisi Allah mereka lebih busuk daripada bau bangkai. Tidak ada seksa yang lebih pedih selain daripada ahli riba.”

  1. Dalam soal ini, bukan sahaja pemberi riba malah mereka yang terlibat dalam kegiatan dan urusan riba juga akan menerima azab sengsara dalam neraka.
  2. Mengikut sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Jabir yang bermaksud sebagaimana berikut:

“Mereka yang terlibat dalam kegiatan riba adalah sama juga dengan mereka yang melaknati orang yang memakan riba, orang yang berwakil kepadanya, penulisnya dan saksinya.”

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *