REWANG Riuh Sekampung bersama komuniti Batu 14 Semungkis, Hulu Langat, telah berlangsung meriah di Institut Latihan Dakwah YADIM (INDAH) pada 14 Februari.
Program ini merupakan anjuran bersama Kelab Generasi Ghuraba’ (GGC) Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung Batu 14, rakan badan bukan kerajaan Persatuan Wanita Madani, MyFoundaction, syarikat Adabi dan ramai lagi.
Ia diadakan bagi menyemarakkan semangat kerjasama dan ukhuwwah dalam kalangan penduduk kampung.
Seramai hampir 150 hadirin menyertai program ini, termasuk kalangan peserta warga emas.
Program ini telah dimulakan dengan taklimat pembahagian tugas, slot tazkirah santai sebagai persediaan menyambut bulan Ramadan bersama Daie amuda YADIM Liyana, sesi usrah dan tadabbur serta aktiviti kanak-kanak seperti kuiz sirah nabawiyyah, kuiz Ramadan dan pelbagai lagi.
Aktiviti memasak kemudiannya dijalankan dengan secara bergotong-royong menyediakan juadah seperti ketupat, lemang, dodol, rendang ayam, daging, bubur kacang dan banyak lagi.
Pengarah INDAH, Ustaz Mohd Khairrul Fuad Samsudin turut menzahirkan kepada hadirin supaya amalan kerjasama dan tolong-menolong seperti ini akan dilaksanakan setiap tahun bersama masyarakat sekitar.
Program ini dilihat telah berjaya mengeratkan lagi hubungan kerjasama strategik antara YADIM dan semua yang terlibat. Semoga semangat kerjasama ini terus dipelihara, terutamanya dalam menyambut bulan Ramadan yang bakal menjelma.
KOMEN