KUALA LUMPUR 18 Januari – Bengkel Pendidikan Islam Nasional 2017 anjuran Kluster Pendidikan, Majlis Amal Islami Malaysia (Maim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia pada 17 Januari (YADIM) telah mengeluarkan satu resolusi yang mengandungi 20 perkara.
Resolusi bengkel yang membawa tema “Memperkasa Pendidikan Islam, Menjana Modal Insan Berpersonaliti Unggul” itu telah dibacakan oleh Pengerusi Kluster Pendidikan MAIM, Dr. Amini Amir Abdullah
Resolusi berkenaan adalah seperti berikut:
`Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Pada hari ini, Bengkel Pendidikan Islam Nasional 2017 anjuran Kluster Pendidikan, Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bertemakan “Memperkasa Pendidikan Islam, Menjana Modal Insan Berpersonaliti Unggul” yang disertai oleh YDP YADIM, Pengerusi Kluster Pendidikan, Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), Ahli Jawatankuasa Kluster Pendidikan, MAIM, pimpinan NGO dan INGO, para pendidik dan pemegang taruh pendidikan Islam serta rakyat jelata daripada pelbagai lapisan masyarakat mengisytiharkan resolusi berikut:
Menyedari bahawa Islam adalah agama yang suci yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama Persekutuan dan dinaungi oleh DYMM. Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Raja-raja Melayu,
Menginsafi bahawa usaha mendaulatkan dan mempertahankan Islam serta pendidikan Islam adalah inisiatif yang terpuji di sisi Allah SWT. dan menjadi kewajipan semua umat Islam serta pemerintah yang adil dan saksama,
Memahami bahawa segala aspek berkaitan pendidikan Islam dan hal ehwal Islam adalah bersangkutan dengan Siyasah Syar’iyyah dan Maqasid al-Syariah demi kedaulatan Din Al-Islam dan kemaslahatan umat manusia semua serta kerukunan dan keharmonian hidup bernegara,
Meyakini bahawa umat Islam dan pemerintah perlu responsif dan proaktif menghadapi dan menangani segala isu berkaitan dengan umat Islam, agama Islam dan pendidikan Islam; dan merupakan tanggungjawab keagamaan serta kenegaraan secara bersama, dengan ini kami mengisytiharkan bahawa kami:
- Mensyukuri kepada Allah SWT. dan menghargai semua usaha dan inisiatif kerajaan dalam memperkasa bidang pendidikan Islam di negara ini.
- Bertekad mempertahankan, memperkasa dan memartabatkan pendidikan Islam seterusnya mendokong dengan sepenuh hati Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
- Bersungguh-sungguh mendesak kerajaan agar menambah bilangan institusi pendidikan Islam pada semua peringkat dan memberikan peruntukan yang lebih besar kepada pembangunan guru dan sekolah agama termasuk Maahad Tahfiz demi pembangunan fizikal dan spirituil ummah di samping tidak mengabaikan perkembangan institusi pendidikan Islam di Sabah dan Sarawak.
- Menggesa kerajaan memperkasa sekolah aliran agama pada semua peringkat dan mengintegrasikannya dengan ilmu akademik secara holistik dan komprehensif sesuai dengan akidah Ahlus Sunnah Wal Jama’ah agar pelajar-pelajar aliran agama mampu bersaing dan bersedia menghadapi pasaran pekerjaan yang serba mencabar serta menangani cabaran pembelajaran sepanjang hayat.
- Mendesak pihak kerajaan memperuntukkan masa yang lebih besar kepada silibus pendidikan Islam dan yang berkaitan dengannya serta memberikan penekanan yang lebih serius kepada aspek pembangunan sahsiah, spirituil, pendidikan Fardu Ain, pendidikan Fardu Kifayah, pembangunan akhlak, adab dan tata susila Islami.
- Mendaulatkan pendidikan Islam agar kita dapat bersedia menghadapi ancaman musuh-musuh Islam dari segala sudut sama ada ancaman ideologi, fizikal, pemikiran dan budaya melalui pelbagai kaedah dan wahana agar kesucian dan kedaulatan Islam terus terpelihara.
- Menjadikan agenda mendaulatkan pendidikan Islam sebagai salah satu keutamaan dalam dasar-dasar berkaitan pendidikan sesuai dengan status Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi mendaulatkan Islam sebagai agama negara.
- Menggesa kerajaan agar mewajibkan pembelajaran bahasa Arab dan pengajian Al-Quran bagi pelajar-pelajar Muslim di samping tidak mengabaikan usaha mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memperkasa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.
- Menyokong sebarang usaha kerajaan menjadikan pendidikan sebagai wahana dan pemangkin perpaduan dan integrasi nasional.
- Memperkasa dan mengangkat peranan Islam dalam pelbagai lapangan pendidikan yang boleh melonjakkan imej dan kedaulatan Islam sebagai agama tertinggi serta membangunkan segenap potensi insan sebagai Khalifah Allah di atas muka bumi ini.
- Bertindak memberi perhatian terhadap pembelaan sepanjang masa akan sistem pendidikan Islam agar ianya dimartabatkan atau setidak-tidaknya setara dengan sistem pendidikan konvensional.
- Menggesa semua institusi pendidikan Islam termasuk Maahad Tahfiz untuk meneruskan dan seterusnya memperkasa usaha mendaulatkan pendidikan Islam sama ada menerusi pengukuhan atau penambahbaikan kurikulum, kualiti guru dan murid, termasuk latihan dan perkaderan atau menerusi program-program kerjasama dengan agensi kerajaan ataupun pihak swasta.
- Menggesa agar diwujudkan satu yayasan khas bagi menjana pendapatan untuk membantu anak-anak orang Islam yang kurang mampu untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
- Menggesa pihak pengajian tinggi untuk mengintensifkan lagi penyelidikan berkaitan pendidikan Islam, hal ehwal Islam dan pelajar-pelajarnya bagi memperkasa bidang pendidikan Islam.
- Menggesa kerajaan menubuhkan Universiti Pendidikan Islam yang dinamakan dengannya Universiti Pendidikan Islam Tun Abdul Razak (UPITAR) bagi melahirkan lebih ramai pendidik yang berkualiti dan berkaliber menerusi jaringan kerjasama dengan bank-bank Islam yang ada dalam negara ini dan bagi mengenang jasa bakti Allahyarham Tun Abdul Razak dalam bidang pendidikan.
- Menggesa kerajaan menaiktaraf Darul Quran sebagai universiti dengan nama Universiti Darul Quran dengan bajet sepenuhnya daripada lembaga-lembaga zakat, Baitul Mal atau jabatan agama negeri-negeri agar ia menjadi model kepada Maahad Tahfiz yang lain.
- Satu Suruhanjaya Diraja Pemartabatan Pendidikan Islam perlu segera dibentuk untuk memartabatkan sistem pendidikan Islam, guru dan pensyarah dalam bidang pengajian Islam, pendidikan dan pendidikan Islam. Fokus mestilah diberikan kepada pendidikan Islam pada peringkat prasekolah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi untuk mengatasi segala masalah yang telah dibincangkan. Di bawah payung suruhanjaya ini, satu jawatankuasa task force boleh ditubuhkan yang mempunyai kuasa menyelaras sekolah-sekolah agama dan menggunapakai satu sistem pendidikan dan kurikulum yang sama dengan sekolah kerajaan.
- Di samping itu, satu Suruhanjaya Khas yang menyediakan laporan dan cadangan penambahbaikan kepada kerajaan mengenai hal ehwal pendidikan Islam dan institusi pendidikan Islam perlu ditubuhkan segera untuk memartabatkan dan melonjakkan imej pendidikan Islam dan institusi pendidikan Islam dalam negara ini.
- Kerajaan Malaysia diminta memperkasakan silibus Usuluddin dan Syariah di IPT dengan mengwujudkan dual degree agar para graduan dapat memperoleh kerja dan memenangi persaingan. Kursus-kursus lain yang boleh diintegrasikan dengan kedua kursus ini ialah pengurusan Islam, kewangan Islam dan perbankan Islam.
- Mengkaji, meneliti dan memperhalusi semua isu pendidikan dan cabaran yang disuarakan dalam bengkel ini dan mengambil tindakan dan langkah-langkah segera untuk menanganinya seterusnya memartabatkan agama Islam dan memperkasa pendidikan daripada segala segi.
KOMEN