Oleh DZULHILMAN ROSLAN
Siapa yang tidak berasa cemburu melihat sahabat sendiri yang sekuliah dengan kita sewaktu belajar dahulu, tetapi hari ini menjadi pegawai yang bergaji lebih besar daripada kita? Siapa yang tidak cemburu melihat orang lain mempunyai kelebihan dan kebolehan yang lebih daripada kita?
Pastinya akan ada sekelumit cemburu dengan kejayaan dan kebahagian yang mereka kecapi apabila dibandingkan dengan diri kita sendiri.
Namun, sayangnya kita jarang menilai dan bermuhasabah terhadap diri kita sendiri. Kita sentiasa akan berasa tidak cukup dengan apa yang telah kita miliki. Setiap kali kita melihat ada insan-insan lain yang memiliki lebih daripada kita, kita akan cepat berasa cemburu dan berburuk sangka… Yang menyedihkan lagi, terbawa-bawa kepada hasad dengki dan dendam. Nauzubillah… Semoga kita terhindar daripada terus-menerus tergolong bersama golongan yang sedemikian.
Selama ini, pernahkah kita terfikir bahawa ada juga sahabat kita yang kurang bernasib baik daripada kita, juga berasa cembura atas pencapaian dan kelebihan yang kita miliki pula? Perkara sebeginlah yang perlu kita renungi, sejauh mana qanaah kita terhadap nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita sepanjang hidup kita.
Tidak dinafikan, ramai manusia yang memiliki harta yang melimpah ruah namun tidak dikurniakan oleh Allah SWT sifat yang mulia. Ramai juga manusia yang memiliki pangkat dan darjat yang tinggi-tinggi, namun tidak diangkat oleh Allah SWT dengan keperibadian seorang yang benar-benar berpakaian dengan ‘pakaian’ Muslim yang sejati.
Pernah saya berjumpa dengan seorang jutawan yang memiliki kekayaan yang melimpah ruah. Apabila bercerita tentang harta kekayaannya, dia sering mengatakan, “Ini bukan saya punya, Allah yang punya…” Mungkin inilah yang menjadi salah satu faktor rezeki yang dimiliknya semakin melimpah ruah. Sehinggalah suatu hari, dia telah diuji oleh Allah SWT, negara kita mengalami krisis ekonomi yang amat kritikal sehingga menjejaskan perniagaannya.
Namun, sedikit pun dia tidak mengeluh, bahkan mampu terus untuk mengukirkan senyuman. Bibirnya tidak pernah lekang mengucapkan syukur kepada Allah SWT. Semakin kritikal masalah kewangan yang dia alami, semkin banyak dia korbankan hartanya untuk disedekah dan disumbangkan kepada orang yang susah. Terutamanya kepada pekerja-pekerja di bawah tanggungannya.
Masya-Allah… Inilah ciri-ciri yang dianjurkan dalam Islam. Menganggap segala apa yang dimiliki adalah milik mutlak Allah SWT, kita hanya meminjam sahaja. Hebatnya lagi adalah, masih mampu mengucapkan syukur dan reda apabila harta yang dimiliki semakin berkurangan atau diambil orang.
Untuk menjadi seorang Muslim yang sejati, kita seharusnya memiliki sifat qanaah. Tidak kiralah sama ada kita terdiri daripada golongan yang sederhana mahupun elit ataupun golongan bawahan mahupun atasan. Kita harus memiliki sifat qanaah.
Apa itu qanaah? Qanaah bermaksud puas dan berasa cukup dengan apa yang telah kita miliki. Qanaah juga membuatkan seseorang itu berlapang dada dengan rezeki yang telah Allah SWT kurniakan kepadanya tanpa rasa tamak dan cemburu dengan rezeki yang telah orang lain terima. Walau bagaimanapun, mereka yang memiliki sifat qanaah ini, tidak lupa untuk terus berusaha sedaya upaya bagi memperbaiki dan mempertingkatkan taraf kehidupannya dengan cara yang luhur, murni dan bersederhana.
Apabila seseorang itu tidak memahami erti sebenar apa yang dimaksudkan dengan qanaah, mereka akan beranggapan bahawa agama Islam mendidik agar umatnya menjadi manusia yang malas berusaha dan berserah bulat-bulat dengan nasib semata-mata. Ditegaskan di sini bahawa tanggapan sedemikan adalah satu tanggapan yang jelas meleset dan salah.
Menjadi suatu kesalahan apabila seseorang bertanggapan bahawa qanaah ialah menerima sahaja apa yang ada dan tidak lagi perlu untuk melakukan sebarang ikhtiar. Menjadi suatu kesalahan apabila seseorang itu bertanggapan bahawa qanaah hanya mementingkan akhirat semata-mata dan langsung tidak memperdulikan dunia.
Ketahuilah bahawa qanaah yang hakiki terletak pada hati. Islam tidak melarang umatnya untuk menjadi kaya dan hidup dalam kemewahan selagi sumber yang diperolehi daripada sumber yang halal dan baik. Dalam masa yang sama, tidak lupa untuk menyalurkan sebahagian daripadanya kepada mereka yang berhak dengan cara bersedekah, berzakat dan sebagainya. Itulah yang diamalkan oleh para sahabat di zaman Rasulullah SAW.
Apabila hati kita dilimpahi dengan rasa syukur, maka jiwa kita akan dapat menerima apa sahaja keadaan. Kita juga akan berasa cukup dengan apa yang telah kita perolehi. Berasa cukup bukanlah bermaksud kita berhenti terus daripada melakukan sesuatu pekerjaan dan terus berpuas hati, tetapi kita berasa cukup untuk apa yang telah kita perolehi dan berazam untuk berusaha mendapatkan apa yang belum kita perolehi.
Walaupun qanaah membawa maksud yang luas, sekurang-kurangnya qanaah mendidik seseorang itu menjadi seorang yang penyabar untuk menerima ketentuan Ilahi dengan penuh ikhlas. Dalam masa yang sama, apabila seseorang diberi oleh Allah SWT kesenangan yang lebih, sekurang-kurangnya qanaah dapat mendidik seseorang itu menjadi manusia yang pandai bersyukur dengan nikmat yang telah Allah SWT pinjamkan.
Mereka yang memiliki sifat qannah ini akan menyedari bahawa nikmat yang telah dipinjamkan oleh Allah SWT itu, boleh sahaja ditarik daripadanya kembali pada bila-bila masa sahaja.
Seseorang yang tidak memiliki sifat qanaah boleh kita kenali melalui sikapnya yang mudah berputus asa dan cepat menyalahkan takdir. Hidupnya sentiasa diselubungi dengan ketakutan dan kebencian. Akhirnya membawa seseorang itu kepada buruk sangka kepada Allah SWT. Nauzubillah…
Lebih baik seseorang itu memerdekakan fikirannya dan meneguhkan hatinya seterusnya bertawakal lalu berdoa kepada Allah SWT dengan mengharapkan pertolongan yang berterusan daripada Allah. Tidak mungkin dan mustahil bagi Allah SWT bersifat zalim dan kejam terhadap makhluknya sedangkan makhluknya itu meletakkan Dia (Allah SWT) sebagai tempat bergantung semata-mata.
Pernah seorang pelajar mengeluh dengan nasibnya sendiri, kenapa Allah SWT tidak menjadikannya sebagai seorang cemerlang dalam pelajaran…? Rupa-rupanya ada nikmat lain yang ingin Allah SWT berikan kepadanya iaitu kesembuhan daripada penyakit barah otak yang selama ini dia alami tanpa dia sedari. Manakah yang lebih baik antara tidak memiliki perngiktirafan sebagai pelajar yang cemerlang dengan seorang yang mengalami derita barah otak sepanjang hayat?
Apabila kita berusaha untuk menggapai kejayaan, jangan sekali-kali lupa untuk kita mengucapkan rasa syukur kita kepada Allah SWT dan berilah penghargaan ke atas usaha yang telah kita lakukan. Walaupun hanya kejayaan yang kecil, namun disebabkan kita sudah terbiasa mensyukuri dengan nikmat yang kecil ini, tidak susah untuk kita mensyukuri dengan nikmat besar yang Allah bakal kurniakan kepada kita. Tetapi, jika kita merasakan bahawa kejayaan kecil itu tiada apa-apa nilai bagi kita, tidak mustahil kita akan merasakan kita gagal selama-lamanya.
Di sini, sukalah untuk saya kongsikan ‘resipi’ agar ‘cukup rasa’ dengan nikmat yang telah Allah SWT berikan kepada kita.
Pertama, pujuk hati agar sentiasa mensyukuri akan nikmat Allah. Adakalanya hati kita keras. Ada kalanya hati kita mati. Perkara inilah yang menghalang untuk kita berasa syukur dengan nikmat Allah. Hati sedemikian perlu di’rebus’ agar menjadi ’empuk’. Oleh itu, hati yang sedemikian perlu ‘dihangatkan’ dengan memperbanyakkan membaca al-Quran, bersahabat dengan orang yang soleh serta rajin menghadirkan diri ke majlis-majlis ilmu.
Kedua, setelah hati tersebut cukup ’empuk’, ‘taburkan’ sebanyak-banyaknya lafaz zikir dan istighfar (memohon ampun) dengan menggunakan lidah yang telah diberikan secara percuma oleh Allah SWT. Berzikirlah dalam apa jua keadaan. Mungkin sambil mengikat tali kasut, menunggu lampu isyarat daripada merah berubah ke hijau atau sebaiknya setiap kali selepas mengerjakan solat.
Dan yang ketiga, gaul ‘hidangan’ tersebut dengan melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT serta elakkan daripada ‘tercampur’ dengan amalan-amalan yang dilarang oleh Allah SWT. Akhir sekali, setelah semuanya ‘sebati’, hiasilah ‘hidangan’ tersebut dengan melakukan seberapa banyak kebaikan. Antaranya adalah dengan menyalurkan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah ke arah kebaikan dan mampu membawa manfaat kepada masyarakat. Setidak-tidaknya kalau bukan dalam bentuk harta, mungkin dalam bentuk tubuh badan yang sihat. Siap…
Mudah, bukan? Insya-Allah, walaupun nampak ringkas, namun ‘kelazatannya’ amat mengagumkan!
Dari Ibnu Abbas RA, beliau mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seandainya manusia itu diberi dua lembah yang berisi dengan harta, nescaya dia menginginkan lembah yang ketiga. Sedangkan yang memenuhi perut manusia kelak hanyalah tanah. Allah tentu akan menerima taubat bagi sesiapa yang mahu bertaubat. (HR Bukhari).
Akhir kata, sesungguhnya rasa cukup mampu untuk menjadikan seseorang yang miskin menjadi kaya dan rasa tidak cukup mampu menjadikan seseorang yang kaya menjadi miskin…
Wallahua’lam…
– majalah Dakwah
KOMEN