REMBAU: Kekangan ruang bangunan bagi mengadakan kelas al-Quran mendorong sekumpulan anak muda mengambil pendekatan kreatif dengan mengubah suai bas lama menjadi pusat pengajian.
Dengan menumpukan usaha mengajar kanak-kanak dan remaja keluarga asnaf secara percuma, kumpulan 13 lelaki berusia dalam lingkungan 20-an yang tinggal di sekitar Taman Sri Rembau Fasa 1 di sini, dan mahu dikenali sebagai Rembau Awesome, bertekad membawa pembaharuan.
Wakil kumpulan itu, Muhammad Allif Ibrahim, 25, berkata mereka bukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sebaliknya hanya sekumpulan anak muda yang mahu menyediakan kelas al-Quran kepada masyarakat.
“Kelas swasta kurang sambutan disebabkan masalah yuran, jadi kami mahu menyediakan alternatif supaya masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang menghantar anak belajar al-Quran di sini.
“Jika mampu, mereka boleh bayar yuran yang akan menampung kos operasi termasuk upah guru. Jika tidak, tiada bayaran dikenakan, sebaliknya kami akan berusaha sediakan insentif terutama bagi menampung kos pengangkutan,” katanya di sini.
Bekas guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) itu berkata, idea mengubah suai bas lama yang sudah tidak digunakan lagi timbul ketika mereka berbincang cara membuka sebuah pusat mengajar al-Quran yang boleh diperbesarkan dari semasa ke semasa.
Katanya, pada mulanya mereka mahu menggunakan kabin atau kontena yang akan dinamakan Pusat Pengajian Taman al-Quran, namun menyedari akan berhadapan masalah jika perlu berpindah ke tapak lain, pada masa depan.
“Kami tiada sumber kewangan tetap, jadi tapak yang murah amat penting. Justeru, kami mahu kebebasan untuk memperbesarkan pusat itu dan pada masa sama, mudah untuk berpindah dengan hanya menunda bas itu apabila keadaan memerlukan,” katanya.
Sebagai permulaan, mereka sedang menyiapkan sebuah bas bagi kelas yang dijangka bermula pada Mac ini di sebuah tapak yang dipajak di Sepri di sini, manakala lima lagi bas akan ditambah dari semasa ke semasa dengan kos setiap satu mencecah RM10,000.
Muhammad Allif berkata, bas terbabit diubah suai dengan pemasangan lantai baharu, kertas dinding, penebat haba serta dilengkapi pendingin hawa dan kipas selain meja dan kerusi, bagi mewujudkan suasana selesa.
Katanya, mereka bergerak dengan sumbangan orang ramai dan ketika ini menghadapi kekangan peruntukan untuk meneruskan usaha menambah bas, namun yakin usaha itu akan berjaya.
“Saya dan beberapa rakan sudah empat tahun mengajar al-Quran kepada lebih 30 pelajar berusia antara empat hingga 57 tahun di rumah sewa di sini. Pelajar asnaf dikecualikan bayaran dan diberi RM5 setiap kedatangan bagi kos pengangkutan hasil sumbangan orang ramai.
“Dengan pemindahan lokasi ini, kami berharap pelajar akan dapat belajar dalam suasana lebih selesa dan pada masa sama, lebih ramai orang akan datang belajar di sini,” katanya.sebelum masuk tingkatan satu nanti.” – BERITA HARIAN
KOMEN