Home » Langit Terbuka » Rejim Zionis mula lancar perang psikologi

Rejim Zionis mula lancar perang psikologi

BAITULMUQADDIS 28 Dis. – Selepas ditawar sebuah kawasan pinggir bandar iaitu di Abu Dis sebagai ibu negara alternatif oleh Amerika Syarikat (AS), penduduk Palestin terus ‘dihidangkan’ dengan serangan psikologi yang ‘memualkan’ apabila rejim Zionis merancang untuk mengisytiharkan sebuah stesen kereta api di Baitulmuqaddis bersempena nama Donald Trump.

Perkara itu sebagai menghargai ‘jasa’ Presiden AS itu mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Menteri Pengangkutan Israel, Yisrael Katz berkata, rejim Zionis memilih lokasi sebuah hentian kereta api bawah tanah berhampiran Tembok Barat di Kota Lama, di tengah-tengah kawasan yang sepatutnya dijadikan ibu negara Palestin.

Pengumuman itu dikutuk pemimpin Palestin yang masih marah dengan keputusan Trump pada 6 Disember lalu, sekali gus mengubah dasar AS terhadap kota itu sejak berdekad lalu.

Bagaimanapun, rancangan kerja naik taraf rangkaian kereta api berkelajuan tinggi bawah tanah antara Tel Aviv dan Baitulmuqaddis itu masih di peringkat awal.

Cadangan pembinaan stesen serta terowong kereta api bawah tanah baharu itu merupakan sebahagian daripada projek lanjutan untuk kereta api berkelajuan tinggi dari Tel Aviv yang dijangka memulakan operasinya tahun depan.

Jelas Katz kepada akhbar Israel, Yedioth Ahronoth, projek yang menghubungkan Tel Aviv dan Baitulmuqaddis itu ketika ini dianggap sebagai ‘projek nasional yang paling penting’ berban­ding projek lain.

Difahamkan, selain ‘Stesen Trump’, sebuah lagi stesen yang menghubungkan laluan Jaffa dan King George atau City Centre akan turut dibina di sepanjang terowong berukuran kira-kira tiga kilometer itu.

Terdahulu di Riyadh, pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Perdana Menteri Turki, Binali Yildirim dalam satu pertemuan menggesa umat Islam di seluruh dunia bersatu menentang pengiktirafan AS terhadap Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Kedua-dua pemimpin itu turut menekankan kepentingan mempertahankan ‘status Baitulmuqaddis’.

Perkara itu didedahkan oleh Al-Jazeera yang memetik kenya­taan daripada Pejabat Perdana Menteri Turki.

Ketika ini, Turki dan Arab Saudi merupakan antara negara yang paling kuat mengkritik tindakan Trump khususnya dalam isu membabitkan Baitulmuqaddis. – AGENSI, UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *