Home » Langit Terbuka » RCI perlu demi mencari kebenaran hakiki – Mufti

RCI perlu demi mencari kebenaran hakiki – Mufti

KUALA LUMPUR 2 Jan. – Cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di­raja (RCI) untuk menyiasat tragedi Memali yang berlaku 32 tahun lalu, bukan untuk memburukkan lagi keadaan sebaliknya demi mencari kebenaran yang telus.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, melalui penubuhan berkenaan, ia boleh merungkai segala persoalan sebelum ini termasuk menyalahkan golongan mufti yang didakwa tidak berperanan dengan baik sehingga berlaku peristiwa berdarah tersebut.

“Tiada halangan untuk wujudkan RCI demi mencari kebenaran kerana sangat tidak wajar mufti dipersalahkan dalam peristiwa tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menegur mufti di negara ini kerana menurutnya gagal berperanan dengan baik, termasuk ketika tragedi itu berlaku.

Dr. Mahathir mendakwa, sekitar berlakunya ‘Amanat Haji Hadi’ dan tragedi Memali, mufti pada ketika itu tidak menegur Abdul Hadi sebaliknya ‘berdiam seribu bahasa’ menyebabkan tercetusnya peristiwa hitam itu.

Abdul Rahman berkata, pesanan tersebut merupakan kenyataan ketua parti kepada anak-anak buahnya.

“Jadi tidak boleh masuk campur lagipun ia melibatkan hal politik, mengapa ketika amanat itu hendak diperjuang, agamawan seperti mufti pula dipersalahkan,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, beliau bersetuju mewujudkan RCI yang bertujuan menyiasat tragedi Memali demi mencari keadilan, namun dalam masa sama menyifatkan dakwaan Dr. Mahathir sebagai terdesak sehingga sanggup menyalahkan pihak lain demi kepentingan diri.

“Kenyataan Dr. Mahathir itu adalah tidak adil kepada institusi mufti kerana dengan mudah menyalahkan pihak kami sedang beliau ketika itu langsung tidak meminta pandangan golongan mufti,” katanya.

Menurutnya, kenyataan tersebut hanya pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan pihak lain.

Peristiwa Memali pada tahun 1985 telah mencetuskan pertempuran antara pihak keselamatan dengan penduduk kampung yang akhirnya mengorbankan 18 orang termasuk guru agama Ibrahim Libya berserta empat anggota polis.

Puluhan rakyat lain tercedera dan menyebabkan penahanan beratus-ratus orang.- UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *