Home » Langit Terbuka » Rasukan ‘game’ dorong bunuh

Rasukan ‘game’ dorong bunuh

Polis memeriksa kereta mangsa bunuh. Foto : https://rmol.co

DUA pelajar sekolah berusia 16 tahun yang disyaki membunuh pemandu Grab di Semarang, Sabtu lalu, dipercayai melakukannya kerana terpengaruh dengan aksi ganas permainan video.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Semarang, Fahmi Arifriyanto, pihaknya percaya dua remaja terbabit diinspirasikan permainan video yang bersifat sadis, selain filem yang berunsur ganas.

Media Indonesia melaporkan Ketua Polis Kota Besar Semarang, Abiyoso Seno Aji, berkata dalam kejadian kira-kira 9 malam Sabtu lalu, dua remaja terbabit memesan perkhidmatan Grab dan membawa pisau belati masuk ke dalam kenderaan.

Seorang daripadanya duduk di sebelah pemandu, Deny Setiawan, 25, manakala seorang lagi di belakang. Selepas mengajak Deny berbual, suspek yang duduk di belakang tiba-tiba mengelar leher mangsa.

Mayat Deny kemudian ditinggalkan di tepi jalan, telefon bimbitnya ditanam berhampiran sungai manakala keretanya ditinggalkan di kawasan lain.

“Mereka dipercayai meninggalkan kereta mangsa dengan niat mengambilnya selepas keadaan lebih reda.

“Suspek juga mengajak beberapa rakan lain mengikuti perancangan itu tetapi mereka tidak berani menyertainya,” katanya.

Sementara itu, Detik News melaporkan Abiyoso berkata, suspek bagaimanapun mendakwa membunuh mangsa kerana memerlukan wang untuk membayar yuran persekolahan.

Namun, menurutnya, dakwaan itu diragui kerana pihak sekolah menyatakan mereka bukan dari keluarga susah.

“Remaja pertama, sebahagian wang yuran sudah diberikan ibu bapanya dan tiada keperluan untuk membayar selebihnya dalam masa terdekat.

“Suspek kedua tinggal bersama ibu angkatnya yang amat dihormati serta memegang jawatan profesional,” katanya.

Dua remaja terbabit ditahan di rumah masing-masing susulan penemuan mayat Deny dan menurut Abiyoso, walaupun masih bawah umur, dua remaja berkenaan mungkin didakwa membunuh seperti orang dewasa.

Sementara itu, guru dan rakan remaja terbabit terkejut dengan kejadian itu kerana pelajar berkenaan berperwatakan baik, malah selamba menghadiri sesi persekolahan, Isnin lalu, selepas membunuh mangsa walaupun dikenakan tindakan disiplin kerana terlewat.- HARIAN METRO

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *