Home » Langit Terbuka » Rapatkan kembali hubungan sempena Ramadan

Rapatkan kembali hubungan sempena Ramadan

MOHAMAD SHUKRI MOHAMAD (tiga dari kiri) semasa merasmikan Program Ihya' Ramadan dan Pelancaran Modul Mutadayyin Sahsiah Unggul Murid di Sekolah Menengah Agama (SMA) Tengku Amalin Aisyah Putri di Kota Bharu hari ini. - UTUSAN

KOTA BHARU 17 Mei – Masyarakat Islam yang bertelagah hendaklah mengambil peluang untuk berdamai lebih-lebih lagi dengan tibanya bulan Ramadan selepas berakhirnya demam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, episod caci mencaci akibat perbezaan pandangan politik termasuk dalam media sosial perlu dihentikan kerana bulan Ramadan adalah medan untuk masyarakat berubah ke arah yang lebih baik.

Malah, jelasnya, kata-kata makian dan fitnah sebenarnya bukan sahaja dilarang semasa Ramadan bahkan sebelum tiba bulan yang mulia itu lagi.

“Umat islam mesti merasakan mereka bersaudara pada setiap masa, orang yang beriman itu seperti adik-beradik kandung, oleh kerana itu kena damaikan.

“Sama ada sebelum pilihan raya atau selepas pilihan raya kena damaikan, kena perbaiki, yang mana yang telah mneyentuh perasaan maka dalam bulan Ramadan ini sepatutnya diperbetulkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Ihya Ramadan dan Pelancaran Modul Mutadayyin Sahsiah Unggul Murid di Sekolah Menengah Agama (SMA) Tengku Amalin Aisyah Putri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengetua SMA Tengku Amalin Aisyah Putri, Rashidah Abdul Rahman.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohamad Shukri berkata, orang yang berpuasa tidak boleh membalas cacian dan makian orang lain terhadapnya bagi mengelak pahala terjejas.

“Bulan Ramadan adalah bulan untuk mendidik umat supaya bersabar, ia juga bulan yang merubah jasmani, rohani mahupun daya intelek umat ke arah yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *