Home » Semasa » Rangkaian masjid seluruh dunia diwujudkan

Rangkaian masjid seluruh dunia diwujudkan

SHAH ALAM 10 Okt. – Persidangan Ulama Muslimin Asia Untuk Membebaskan Masjid Al-Aqsa dan Palestin sepakat mewujudkan rangkaian masjid sedunia bagi menangani isu umat Islam di seluruh dunia terutamanya dalam mempertahankan Masjid Al-Aqsa.

Timbalan Presiden Sekretariat Palestin Malaysia (SPM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, rangkaian tersebut akan dimulakan di negara Asean terlebih dahulu sebelum ia dikembangkan secara meluas ke seluruh dunia.

“Masjid adalah aset terpenting bagi umat Islam di mana terdapat jutaan masjid di seluruh dunia. Kita telah sebut bahawa orang Islam mesti bersatu dan jangan ada kompromi tentang kewujudan Israel sebagai negara penjenayah.

“Tapi oleh kerana masjid tidak digembleng dengan baik, ia telah menyebabkan maklumat mengenai situasi umat Islam di seluruh dunia tidak sampai sekali gus kesedaran di kalangan umat Islam sendiri menjadi cetek,” katanya pada sidang media Persidangan Ulama Muslimin Asia Untuk Membebaskan Masjid Al-Aqsa dan Palestin, hari ini.

Persidangan anjuran SPM yang berlangsung selama tiga hari itu disertai seramai 50 peserta termasuklah delegasi daripada Lubnan, Iran, Palestin, Libya, India, Singapura, Australia dan Thailand.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, rangkaian masjid yang dijangka dirasmikan pada Disember ini dilaksanakan sebagai usaha meringankan bebanan umat Islam yang ditindas di seluruh dunia.

“Rangkaian ini bukan hanya boleh dimanfaatkan dalam menangani isu Palestin, tapi juga umat Islam tempat lain seperti yang berlaku terhadap etnik Rohingya.

“Daripada usaha ini juga kita boleh mengumpulkan sumbangan-sumbangan yang perlu dalam membantu umat Islam yang memerlukan. Jadi kita tidaklah hanya menunggu bantuan pihak kerajaan semata-mata,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Azmi turut memberitahu persidangan tersebut turut bersetuju untuk menjalankan kolaborasi bersama media untuk bersama-sama menggerakkan boikot, lupus dan sekat Israel (BDS).

“Kami mahu semua negara Islam tidak terlibat dengan aktiviti yang mengaitkan Israel sama ada dengan memboikot produk dan perkhidmatan mereka. Perkara ini harus difahami dan kalau kita mementingkan pertumbuhan ekonomi tapi ia tidak seharusnya atas harga yang terpaksa dibayar oleh rakyat Palestin.

“Cabaran terbesar adalah memastikan kempen ini tidak dijalankan secara bermusim. Kita akan adakan satu pertemuan untuk menggariskan sejauh mana kempen akan berterusan dan apakah sasarannya supaya ia lebih praktikal,” jelasnya. – www.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *