Home » Persuasif » Ramalan Kiamat yang Merosakkan Akidah

Ramalan Kiamat yang Merosakkan Akidah

Oleh MAHANOR SALEHA

KEPERCAYAAN adanya kiamat terdapat dalam semua ajaran agama samawi, iaitu Islam, Yahudi dan Nasrani. Islam meletakkan bahawa keyakinan adanya hari kiamat sebagai salah satu rukun iman dan keraguan mengenainya akan membawa kepada kekufuran.

Atas kepercayaan manusia mengenai hari kiamat, dengan kepintaran berfikir dan keterbatasan pengetahuan, manusia membuat beberapa teori dan ramalan mengenai kiamat.

Teori kiamat yang dipercayai oleh sebahagian manusia hanyalah berdasarkan tafsiran mereka terhadap keupayaan ilmu dalam menanggapi fenomena alam yang sedang berlaku dan pernah dihadapi oleh manusia sepanjang kehidupannya.

Teori tentang kiamat yang dicipta oleh manusia berdasarkan beberapa aliran pemikiran yang berkembang berasaskan pandangan falsafah tertentu. Bahkan terdapat beberapa pandangan sains yang menafikan kiamat akan berlaku berdasarkan pelbagai teori dan pandangan semulajadi alam.

Menurut falsafah awal yang dibangunkan dalam tradisi Greek, Pythagoras the Samian (580-490 SM) mengasaskan gerakan keagamaan berdasarkan pandangan alam secara mistik dan semulajadi.

Menurutnya, nombor memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia, iaitu sebagai “pemerintah bagi semua bentuk, idea dan punca bagi setiap kebaikan dan kejahatan.”

Pythagoras membawa kepada satu kepercayaan bahawa ketuhanan dan alam semesta bergabung dalam acuan prinsip matematik menerusi konsep monism (satu bulatan) yang dikenali sebagai monard. Perhubungan tersebut turut berkembang dua bulatan (diard), tiga bulatan (triad) dan sebagainya.

Konsep ini telah mempengaruhi penyelewengan agama Kristian sehingga membentuk kefahaman kesatuan dalam tiga entiti atau dikenali sebagai triniti dan viseca pisces.

Plato (427-347 SM) bersama mentornya Socrates (470-399 SM) dan muridnya Aristotles (384-322SM) mengasaskan falsafah natural, dikembangkan daripada falsafah alam semesta Pythagoras. Yang berbeza ialah nilai pemikiran yang dipegang, Plato membawa aliran realisme manakala Socrates tidak mempercayai adanya tuhan, iaitu atheisme.

Aristotles menamakan perbezaan aliran tersebut kepada metafizik dan menggunakan teknik penulisan Plato yang dikumpulkan ke dalam 35 dialog dan 13 surat sebagai bahan pengajarannya di akademi yang diusahakan bersama di Athens.

Pada tahun 343 SM, Aristotles menjadi tutor kepada Alexander the Great (356-323 SM) dari Macedonia selain Ptolemy Lagides (367-283 SM), panglima tentera Alexander the Great (menjadi Raja Mesir dan mengasaskan Dinasti Ptolemik, pernah meminta gelaran sebagai firaun) dan Cassender (350-297 SM), menjadi raja Macedonia selama lapan tahun (395-297SM) dan pengasas Dinasti Antipatrid.

Aristotles turut membimbing Alexander untuk melakukan penjelajahan ke timur, dengan menyerang Parsi dan kaum Barbarian di Eropah.

Tahun 355 SM, Aristotles kembali ke Athens membuka akademinya sendiri bernama Lyceum, selepas 12 tahun di Macedonia. Selepas kematian Alexander the Great pada tahun 325 SM, gerakan anti Macedonia mula berkembang dan Aristotles dituduh tidak menghormati Tuhan orang-orang Greek. Akibatnya, Aristotles kembali ke kampung halaman ibunya di Chalcidine sehingga meninggal dunia pada tahun 322 SM.

Falsafah Greek telah mula berkembang dalam pemikiran dan perbincangan umat Islam pada zaman pertengahan, yang dikembangkan menjadi falsafah hellinistik. Asas falsafah ini kemudiannya dijadikan asas pengintegrasian antara ilmu-ilmu agama sehingga menjadikan kekacauan falsafah, dan ditolak oleh Al-Ghazali (1058-1111), digantikan dengan pemikiran tasauf.

Kemunculan pelbagai aliran falsafah yang menyeleweng daripada akidah turut mempengaruhi umat Islam dan mencetuskan kemunculan gerakan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dipimpin oleh Imam Abu Hasan Ash’ari dan Al-Ghazali. Gerakan ini menentang fahaman sesat seperti Syiah, Mutazillah, Khawarij, Murjiah, Qadariah, Jabariah dan Jahmiah. Kemerosotan itu juga membawa kepada kempen Perang Salib oleh puak Crusader oleh Kristian (Roman Katholik) dan pencerobohan tentera Mongol antara kurun ke-11 hingga ke-13. (Ibnu az-Zahedy, Kiamat: Angkara Manusia, 2012, hal.127).

Falsafah ini kemudiannya menghidupkan kapitalisme dan kebebasan individu sehingga menjadikan punca ketamakan dan pengusiran nilai-nilai moral dalam kehidupan masyarakat dan melahirkan pelbagai aliran falsafah kemudiannya.

Karl Marx (1818-1883)cuba menghidupkan semula pandangan materialisme kuno dengan memasukkan unsur-unsur dialektika dan idealisme ini kemudiannya dikenali sebagai materialisme dialektika.

Pengagum kepada materialisme yakin bahawa alam semesta tidak terhingga dan membawa kepada pandangan tuhan tidak ada dalam kehidupan manusia. Salah seorang pengikut Karl Marx ialah Georges Politzer, yang kemudiannya merumuskan bahawa alam semesta bukan benda yang dicipta, dan jika ianya diciptakan, ia diciptakan daripada kosong.

Pada tahun 1929, Edwin Hubble (1889-1953) berjaya membuktikan teori pengembangan alam semesta menerusi pengamatan jarak antara bintang-bintang di angkasa. Teori ini akhirnya mencetuskan pula fenomena ledakan besar, atau Big Bang.

Teori ini percaya bahawa semua benda di alam semesta wujud pada awalnya dalam titik yang satu dan kemudiannya terpisah dan berkembang. Pemisahan inilah yang membentuk alam semesta.

Pada tahun 1920, Sir James Jeans (1877-1946) mengemukakan sebuah lagi teori alternatif mengenai pembentukan alam semesta. Teori ini dikenali sebagai Steady State dan disebabkan ketandusan bukti ilmiah akhirnya ditolak oleh Prof. George O Abell (1927-1983) dari Univesiti California.

Walaupun gagal memberikan bukti ilmiah, Abel lebih yakin dengan teori Big Bang manakala Immanuel Kant (1724-1804) percaya bahawa alam semesta akan kekal selama-lamanya, tidak mungkin mengalami kemusnahan. Pemikiran Abel lebih mendapat perhatian masyarakat berbanding Kant kerana manusia percaya, setiap yang bermula itu ada akhirnya.

Charles Darwin (1809-1882) yang terkenal dengan teori evolusi menjelaskan bahawa semua makhluk hidup berasal dari nenek moyang yang sama dan berevolusi dari satu spesis ke spesis yang lain menerusi perubahan bertahap. (Charles Darwin, The Origin of Species, reprinted 2004).

Manusia sekarang adalah hasil evolusi daripada kera dan kera berevolusi selama berjuta-juta tahun. Proses evolusi ini gambarkan dalam empat peringkat, iaitu Australopithecus, Homo habilis, Homo erectus dan Homo sapiens.Harun Yahya menolak teori evolusi yang dikemukakan oleh Charles Darwin, kerana ia merupakan satu bentuk penipuan saintifik yang sedang dikembangkan termasuklah berhubung dengan fosil yang dijadikan bahan penelitian. (Harun Yahya, Evolution Deciet, 1999).

Asas falsafah inilah kemudiannya membentuk beberapa ramalan mengenai tarikh kiamat akan berlaku. Teori Big Bang (ledakan besar) disamakan dengan bunyian terompet manakala langit ditinggikan tanpa tiang (the expansion of the universe), dan kesudahan alam semesta (kiamat).

Teori Big Crunch atau Teori Penguncupan Besar menjelaskan bahawa alam semesta akan mengembang dan bila sampai ke tahap maksimum, ia akan mengalami penguncupan sehingga membentuk bola, bila dilemparkan ke udara, ia akan berhenti dan jatuh. Saat kejatuhan inilah dianggap sebagai tarikh kemusnahan alam semesta, iaitu kiamat.

Teori Big Freeze (Kebekuan Alam Semesta) pula mengatakan bahawa pada suatu ketika nanti, alam semesta akan kehilangan tenaga haba dan pada saat itu seluruhnya akan gelap dan menjadi beku. Saat itulah akan berlakunya kemusnahan dan kematian.

Teori Big Rip (Koyakan Alam Semesta) merupakan pengembangan kepada teori Big Freeze di mana proses penguncupan dan pembekuan alam semesta berlaku dalam kelajuan yang cepat.

Teori Big Bounce tidak menemukan istilah kehancuran tetapi mendekati pandangan agama Buddha yang menyatakan kehidupan dan alam semesta akan mengalami reinkarnasi berdasarkan putaran kehidupan awal dan akhir. Ia akan terus berulang-ulang, hidup dan mati muncul secara bergilir-gilir.

Kesemua teori ini saling berkaitan. Ledakan Besar dianggap sebagai teori awal penciptaan alam semesta dan proses kemusnahannya bermula dengan Big Crunch. Kebenaran Big Crunch menjadi permulaan kepada Big Bounce. Ertinya, pertaliannya begitu erat. Tanpa Big Crunch, tidak akan terjadinya Big Bounce. Ianya bermula dengan Big Bang, ledakan besar yang menjadikan alam semesta.

Menurut ramalan sains dan pandangan purba, terdapat lebih 30 ramalan mengenai kiamat telah muncul sepanjang sejarah manusia. Antara ramalan yang popular ialah:

  • Kiamat akan berlaku pada 21 September 1945 pada jam 5.33 pagi. Ramalan ini dibuat oleh seorang paderi Kristian di Amerika Syarikat bernama Charles;
  • Kiamat diramalkan berlaku pada 20 Disember 1954. Diramalkan oleh seorang doktor bernama Laugheda dari Amerika Syarikat;
  • Kiamat akan berlaku pada 14 Julai 1960 jam 1.45 petang;
  • Kiamat akan berlaku pada 2 Februari 1962 antara jam 12.05 hingga 12.15 minit. Diramalkan oleh seorang ahli astrologi dari India;
  • Laporan akhbar pada bulan Februari 2008, Norway membina sebuah gedung yang lengkap dengan ciri keselamatan di atas sebuah bukit bagi menyimpan segala bijirin bagi menghadapi bencana kiamat;
  • Kiamat diramalkan berlaku pada 20 Disember 2012, berdasarkan tafsiran segelintir manusia terhadap penemuan sebuah kalendar kuno kaum Maya sebagai end of times;
  • Apocalypse 2012 oleh Lawrence E Jose yang meramalkan aktiviti matahari akan memuncak pada tahun 2012 yang akan menyebabkan pemanasan global dan menyaksikan medan magnet bumi retak sehingga terjadinya pergeseran kutub bumi;
  • Pada tahun 2012-2020 akan berlaku satu fenomena di mana sistem suria akan memasuki medan awan tenaga antara bintang. Ia akan mengakibatkan kesan negatif kepada ketidakseimbangan atmosfera dan bakal terjadinya bencana terdahsyat yang belum pernah berlaku dalam sejarah. Pandangan ini dibuat oleh ahli geofizik Rusia berdasarkan pandangan seorang ahli fizik bernama UC Berkeley;
  • Kiamat berlaku dalam tempoh 16.7 juta tahun akan datang. Berdasarkan laporan akhbar pada 29 Julai 2012, beberapa orang pakar fizik China meramalkan kiamat berdasarkan Teori Rekahan Besar. Bumi dijangka akan meletup selama 16 minit manakala matahari akan hancur dalam tempoh 28 minit. Diramalkan kiamat akan berlaku dalam tempoh 16.7 juta tahun lagi;
  • Ramalan St Malachy, Pope Fransiskus adalah Pope terakhir. Paus Fransiskus dilantik pada 13 Mac 2013 selepas Pope Benekditus menyatakan hasratnya untuk berheni pada 28 Februari 2013. Jorge Mario Bergogilo dari Argentina dilantik sebagai Pope dan menamakannya sebagai Pope Fransiskus. Ramalan St Malachy, seperti yang ditemui pada tahun 1950, Pope Fransiskus merupakan paus yang terakhir, dan selepasnya akan berlaku kiamat;
  • Kiamat akan berlaku pada tahun 2073. Teori ini berdasarkan andaian bahawa kuasa Israel akan mencapai kemuncaknya pada tahun 2014. Selepas 19 tahun berada di kemuncak, Israel kembali jatuh, iaitu pada tahun 2033. Tahun tersebut diramalkan Nabi Isa AS akan diturunkan semula ke dunia, dan akan hidup selama 40 tahun. Selepas itu, kiamat akan berlaku;
  • Kiamat akan berlaku pada tahun 2056 atau 2079. Ramalan ini berdasarkan pendapat Imam Jalaludin as-Sayuti sebagaimana diterangkan dalam kitab al-Kasyaf. Umur umat Nabi Muhammad SAW akan terus berlangsung antara 1,000 hingga 1,500 tahun. Umur dunia dianggarkan 7,000 tahun manakala umur umat terdahulu ialah 4,800 tahun dan jarak waktu bumi terbit dari barat ialah 700 tahun. Dibentuknya rumusan, umur dunia (7,000 tahun) ditolak dengan jumlah keseluruhan tempoh kiamat (Umur umat terdahulu 4,800 tahun dan dicampur dengan keseluruhan tempoh kiamat 700 tahun bersamaan 1,500 tahun. 1,500 tahun kemudiannya ditolak dengan umur kerasulan Muhammad SAW (23 tahun), jawapannya ialah 1,477 tahun, iaitu pada tahun 2056 M (1477 Hijrah). Jika mengambil kira umur umat Muhammad SAW 1,500 tahun, maka kiamat akan berlaku pada 2079; dan,
  • Ramalan kiamat akan berlaku pada tahun 2055 berdasarkan pendapat Ibn Hajr al-Asqalani. Umur umat Yahudi ditambah dengan umur umat Islam. Nabi Isa AS ialah 1,500 tahun manakala antara Nabi Isa AS dan Nabi Muhammad SAW ialah 600 tahun kemudian. Hasilnya, umat Nabi Muhammad SAW akan tamat dalam tempoh 900 tahun (1500 – 600). Tempoh itu ditambah dengan 500 tahun, umur Nabi Muhammad SAW dan Tahun Kenabian Sebelum Hijrah (900+500+63+13 = 1476 Hijrah). Jika ditolak dengan tahun sekarang (2015M/1437H), maka berbaki ialah 39 tahun (1476-1437 =39 tahun), iaitu kiamat akan berlaku pada tahun 2055 (2015+39 =2054).

Ramalan tentang kiamat yang paling menggemparkan ialah keyakinan berlakunya pada 20 Disember 2012, kesan daripada pengaruh filem yang ditayangkan pada tahun 2008/2009. Filem tersebut diarahkan oleh Ronald Emmerich berdasarkan tafsiran kalendar purba kaum Maya. Berdasarkan kalendar itu, dunia sekarang berada dalam tahun ke-4 matahari atau dipanggil baktun.

Permulaan tahun kalendar Maya ialah 0.0.0.1 dan berakhir 13.0.0.0. Diterjemahkan dalam kalendar sebenar, ia bermula pada 13 Ogos 3114 SM dan berakhir pada 21 Disember 2012. Menurut pakar arkeologi Maya, Apolinario Chile Pixtun, tarikh sebenar berakhirnya pusingan ketiga kalendar Maya ialah 12.12.2012, dan ia bukanlah bermakna tarikh dunia akan berakhir. Mark Van Stone turut mengakui bahawa tidak ada sebarang petunjuk tentang kiamat dalam kalendar Maya. (Mohd Zuhdi Ahmad Khasasi, Dahsyatnya Petaka Kiamat, 2015, halaman 150-151).

Sebelum itu, terdapat beberapa filem yang sengaja dikeluarkan bagi menakutkan manusia dengan peristiwa kiamat. Filem Armageddon diterbitkan oleh Michael Bay dan dikeluarkan pada tahun 1998; Deep Impact arahan Mimi Leder dan diterbitkan pada tahun 1998; The Day After Tomorrow diarahkan oleh Roland Emmerich dan diterbitkan pada tahun 2004; dan dokumentari Apocalypse 2012 yang diarahkan oleh Justin Jones dan diterbitkan dalam versi video pada tahun 2007.

Filem berdasarkan ramalan kiamat sebenarnya telah lama diusahakan dan hingga kini, terdapat lebih 230 tajuk filem telah dikeluarkan sejak tahun 1950, permulaan industri perfileman berkembang. Sebahagian besar keyakinan dan kepercayaan masyarakat banyak terpengaruh dengan imej visual yang mereka tontoni itu, walaupun apa yang digambarkan itu berupa fiksyen. Inilah yang dilihat dan dinilai oleh Nicholas Mirzoeff melalui bukunya, How We See The World (2015).

Manusia membuat sesuatu keputusan berdasarkan apa yang dipercayainya, dan kepercayaan itu dibina menerusi pengetahuan. Salah satu faktor yang mempengaruhi kepercayaan dan keyakinan ialah melihat, dan dari situlah munculnya ungkapan “Seeing is Believing.” Secara psikologi, terdapat enam situasi, iaitu warna (color vision), tapisan pendengaran (hearing filter), tapisan penglihatan (vision filter), ramalan (predicting the future) , grounded cognition dan tapisan kepercayaan (belief filter).

Itulah sebabnya, ketika filem 2012 sedang ditayangkan di seluruh dunia, segelintir manusia menjadi cemas dan takut sehingga melakukan pembelian panik, menyimpan makanan dan keperluan harian lebih banyak berbanding lazimnya kerana percayakan kiamat akan datang pada 20.12.2012. Kiamat tidak juga muncul, kerana apa yang berlaku itu adalah bayangan ketakutan yang sengaja dibiarkan berlaku atas alasan kepentingan kapitalisme.

Umat Islam ada juga yang terpengaruh walaupun dari segi keyakinan ia bercanggah dengan Islam. Tarikh sebenar bilakah kiamat itu akan berlaku tidak akan diketahui dengan tepat oleh manusia, kerana ia adalah urusan Allah SWT. Agar tidak tersesat akidah, umat Islam diminta supaya meningkatkan keimanan dan bertaubat sepanjang masa, tidak mudah leka kerana sebahagian petaka yang memunculkan kiamat itu disebabkan oleh sikap manusia sendiri, mengancam kehidupan harmoni dan kelestarian alam.

Petaka yang menimpa – gelombang laut berupa tsunami, tanah runtuh, letusan gunung berapi, ribut taufan, air pasang besar, jerebu, peningkatan paras suhu, peningkatan paras laut dan perubahan iklim  – sebenarnya berpunca daripada ketamakan manusia sendiri. Itulah sebabnya Allah SWT menurunkan petaka, untuk menguji manusia sejauhmanakah mereka beriman kepada-Nya, juga membuktikan petaka yang lebih dahsyat lagi bakal menyusul apabila tiba waktunya.

Kiamat bukanlah sesuatu yang menakutkan, kerana umat Islam dilatih untuk mempercayainya. Mempercayai akan adanya hari kiamat merupakan rukun imam keenam, dan menolaknya boleh menyesatkan pegangan akidah. Bagaimanapun, mempercayainya berdasarkan ramalan dan visualisasi tertentu boleh menjadikan manusia bersifat pesimistik, sedangkan Allah SWT menggalakkan manusia memahaminya sebagai peringatan bagi meningkatkan keimanan dan tidak menjadikan kita sebagai orang yang sombong, ego dan lupa diri, hidup dan mati adalah untuk-Nya, Tuhan Rabbul Jalil.

 

Artikel Berkaitan

Selangor sediakan modul khas pulihkan ahli GISB

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini dalam fasa memulihkan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *