GAZA – Rakyat Palestin terpaksa menggunakan mercun bagi berdepan tentera Israel yang lengkap bersenjata dan melancarkan serangan di dalam pekarangan Masjid Al-Aqsa.
Sekurang-kurangnya 20 jemaah mengalami kecederaan sejak tentera Israel melancarkan serangan awal pagi semalam.
Sebelum itu, tentera Israel melancarkan serangan dengan 12 peluru berpandu ke tengah Gaza sebelum waktu Subuh semalam, selepas pejuang Palestin melancarkan roket ke Israel.
Tentera Israel dalam kenyataan memaklumkan pesawat perangnya melangar pos keselamatan Hamas dan sebahagian tapak bawah tanah yang digunakan untuk menghasilkan enjin roket.
Sebelum itu, saksi berkata, pejuang Hamas menggunakan dua kem latihan bagi melancarkan lima roket ke kawasan diduduki Israel.
Roket pertama dari Gaza dikatakan jatuh di laman sebuah rumah di bandar selatan Israel, Sderot, namun tidak menyebabkan kecederaan.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat serangan yang berlaku ketika umat Islam menyambut hari ke-19 Ramadan.
Setakat ini, tiada mana-mana pihak tampil bertanggungjawab melancarkan serangan kedua dalam masa sehari itu.
Sejak Mac lalu, seramai 29 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan tentera Israel di Tebing Barat, manakala, 14 penduduk Israel terbunuh semasa serangan di kawasan jalanan.
Dalam pada itu, Hamas berkata, serangan pengeboman Israel sebenarnya mencetuskan semangat rakyat Palestin menentang penjajahan dan meningkatkan sokongan penduduk di Baitulmuqaddis.-AGENSI
KOMEN