Home » Langit Terbuka » Rakyat kena bersatu sokong akta sekat generasi baharu merokok

Rakyat kena bersatu sokong akta sekat generasi baharu merokok

Gambar Hiasan

Kesihatan baik adalah nikmat yang amat bermakna kepada setiap makhluk bernyawa. Untuk mencipta gaya hidup sihat, kita perlu lebih berani dan terbuka menerima apa sahaja usaha bagi mencorakkan hidup rakyat Malaysia ke arah lebih sihat dan baik.

Kejayaan bermula dengan langkah pertama. Untuk mencapai langkah itu, kita perlu bersedia dan kuat untuk menggapainya.

Tinjauan Kajian Morbiditi Kebangsaan pada 2019 mendapati peratusan merokok dalam kalangan remaja berusia 18 tahun (iaitu usia selepas undang-undang tidak melarang mereka merokok) adalah tinggi.

Dianggarkan sebanyak 24.49 peratus remaja berusia 18 tahun merokok berbanding statistik sebelum ini sebanyak 7.7 peratus sahaja. Daripada jumlah itu, 22.78 peratus menggunakan rokok tembakau.

Berdasarkan tinjauan ini, peningkatan bukanlah sesuatu yang membanggakan, bahkan perlu lebih bimbang dengan trend tidak sihat ini yang semakin menjadi normal dalam kehidupan remaja seawal usia 18 tahun ke bawah.

Vape galak tabiat merokok

Keadaan ini lebih memburukkan lagi apabila kini ada pelbagai produk rokok canggih dan mudah untuk didapati, terutama vape. Ini semua berpunca daripada tabiat merokok kian menjadi-jadi dalam masyarakat.

Justeru, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bagi mengelak golongan remaja, termasuk mereka di bawah umur terjebak dengan tabiat merokok.

Akta baharu yang turut dipanggil RUU Generasi Penamat (GEG), bertujuan mengharamkan penggunaan, pemilikan dan penjualan produk rokok dan vape bagi mereka yang dilahirkan selepas 2007.

Trend merokok dalam kalangan remaja sudah menjadi normal pada masa kini. Sebahagian remaja hari ini beranggapan mereka yang tidak merokok tidak jantan, ‘lembik’ dan tidak ‘macho’.

Doktrin seperti ini bukan hal baharu, namun apabila hal ini tidak dibendung dan ditangani secara serius, maka generasi muda hari ini akan terus mewarisi tabiat buruk merokok daripada generasi terdahulu.

Tabiat merokok menyebabkan pencemaran udara, mengheret orang di sekeliling menghidu asap rokok, sekali gus merosakkan kesihatan diri dan orang lain.

Jika dilihat suatu laporan dikeluarkan The Tobacco Atlas 2019, fakta menunjukkan kematian pramatang bayi akibat rokok adalah seramai 27,000 bayi setiap tahun. Ini bermakna sekiranya kita masih berlengah dan tidak menyokong usaha baik ini bermaksud kita saban tahun menghadapi 27,000 kematian bayi pramatang.

Beban kerajaan tampung kos rawatan

Adakah angka ini yang kita mahu. Apakah ini yang kita mahu wariskan kepada generasi Malaysia. Sudah tentu tidak.

Peningkatan peratusan merokok ini bukan suatu menggembirakan. Kesannya, peningkatan ini juga turut meningkatkan kos harus ditanggung kerajaan. Kajian dibuat menyatakan rawatan akibat komplikasi penyakit berpunca hasilan tembakau dianggarkan RM8.77 bilion menjelang 2030.

Ini sekali gus membebankan kerajaan untuk menampung kenaikan kos rawatan ini akibat kenaikan peratusan merokok dalam kalangan remaja hari ini. Anggaran ini menggembirakan apatah lagi membabitkan duit kerajaan yang datangnya daripada hasil rakyat.

Oleh itu, rakyat Malaysia, terutama mereka yang beragama Islam, bersatu dan menzahirkan rasa sokongan kepada kewujudan akta menyekat generasi baharu ‘hancur’ akibat rokok.

Ia bagi memastikan kelestarian warga Malaysia lebih ceria dan sihat, bebas kelahiran bayi pramatang, kanser akibat tabiat merokok, kerosakan jantung dan sebagainya menjadi pembunuh senyap nombor satu di Malaysia.

Jika RUU ini diluluskan, generasi yang lahir selepas ini adalah golongan tidak lagi mengenal tabiat merokok. Sokongan seluruh Ahli Parlimen amat diperlukan untuk mencorakkan generasi masa depan lebih sejahtera.

Penulis adalah Ketua Rakan Hidayah Centre Perlis – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *