PUTRAJAYA: Tindakan segelintir pihak berterusan memanipulasi isu agama dan perkauman sebagai senjata untuk melemahkan pihak yang tidak sealiran dengan mereka, disifatkan sebagai amat tidak bertanggungjawab.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata tindakan itu hanya menyebabkan rakyat menjadi mangsa keadaan kerana dihidangkan dengan berita fitnah, adu domba serta maki hamun yang memecahbelahkan silaturahim.
Beliau menegaskan, negara memerlukan kompas tersendiri dalam menghargai keunikan kepelbagaian budaya, kaum dan agama.
“Semangat perpaduan dalam kemajmukan berteraskan Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara, akan membentuk acuan jati diri yang berjiwa patriotik, bertoleransi dan bertanggungjawab.
“Ia penting untuk memperkukuh kesejahteraan masyarakat yang menjadi nilai teras Malaysia Madani,” katanya ketika menyampaikan sembah ucapan aluan pada Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1446H/2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, mencemar duli berangkat ke majlis itu dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta Mohd Na’im.
Bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’, sambutan itu bukan sekadar memperingati ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, malah menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah SAW.
Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan kali ini membabitkan penyertaan seramai 6,000 orang daripada 131 kontinjen kementerian, badan berkanun dan agensi swasta.
Penganjuran tahun ini dapat menyaksikan inovasi atau suntikan elemen teknologi membabitkan persembahan seni media pemetaan cahaya (mapping) pada latar pentas (astaka), yang memaparkan tayangan grafik yang berinteraksi dengan fasad latar pentas.
Selain itu dengan mengambil semangat kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW, tahun ini juga dibawakan persembahan khas yang mengangkat keperibadian Baginda.
Ia sebagai teladan dan pemangkin kemakmuran dalam menyatupadukan umat manusia berdasarkan peristiwa daripada sirah kehidupan Rasulullah SAW.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan membawa makna besar kepada umat Islam.
Beliau berkata, ia penting untuk umat Islam menghayati serta mengamalkan segala inti pati ajaran ditinggalkan Rasulullah SAW berasaskan ilmu dan hikmah.
“Sempena majlis sambutan tahun ini, kerajaan mengangkat tema ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ sebagai asas untuk dihayati semua lapisan masyarakat.
“Malah, buat julung kali sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan, Kerajaan Madani menganjurkan Malam Cinta Rasul yang menampilkan pelbagai pengisian, malam tadi.
“Ia bertujuan menyuburkan kecintaan kepada Baginda Rasulullah SAW, bersesuaian dengan wadah Perdana Menteri untuk terus memakmurkan syiar Islam di negara tercinta ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak semua umat Islam untuk terus bersatu hati mendoakan rakyat Palestin diberikan kesejahteraan dan keselamatan.
“Tidak dilupakan, turut didoakan rakyat Palestin yang sedang menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, supaya dikurniakan kesihatan dan kesembuhan,” katanya.
KOMEN