Home » Langit Terbuka » Raja Muda Perlis: Kembali kepada agama pupuk integriti

Raja Muda Perlis: Kembali kepada agama pupuk integriti

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merasmikan Majlis Perasmian Penutup Roadshow Integrti peringkat Perlis di Pusat Koreksional Negeri Perlis.

KANGAR 31 Jan. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu integriti dijadikan benteng terakhir ummah yang wajib diteliti dan diperhalusi bagi melahirkan masyarakat yang berintegriti tinggi, sekali gus “mensejahterakan kita semua.”

Malah baginda juga bertitah agar setiap rakyat sama-sama kembali kepada ajaran agama masing-masing bagi mencapai matlamat tersebut.

“Bagi orang Islam sudah tentu kita perlu menghayati al-Quran dan Sunnah Rasul.

“Tidak kira apa jua agama yang kita anuti, setiap daripada kita perlu memainkan peranan yang menyeluruh untuk menyemai nilai-nilai murni yang ada dalam ajaran agama masing-masing demi melahirkan satu komuniti yang berintegriti, selaras dengan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara,” titah baginda.

Menurut baginda, hanya dengan kembali berpandu kepada ajaran agama yang sebenar, negara dapat melahirkan insan-insan yang bertakwa dan mengamalkan kebaikan di muka bumi ini.

“Semoga pembudayaan integriti dalam kalangan rakyat akan menyejahterakan kita semua,” titah baginda pada Majlis Perasmian Penutup Roadshow Integrti peringkat Perlis di Pusat Koreksional Negeri Perlis petang ini.

Program Roadshow Integrti peringkat Negeri Perlis dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (Integrti) dengan kerjasama Pejabat Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs). Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Integrti, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KUIPs, Dr. Mohd Mizan bin Mohammad Aslam.

Raja Muda bertitah, “seperti kata Imam Al-Ghazali yang memperincikan sebahagian akhlak mulia sebagai penyabar, lemah lembut, bersyukur, redha, ikhlas, murah hati, berkata benar, jujur, amanah dan bertanggungjawab.”

“Walau bagaimanapun Al-Ghazali akhirnya menyimpulkan bahawa keindahan akhlak itu adalah iman, dan keburukan akhlak itu adalah sifat munafik.

“Hadis Al-Hakim diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahhuanhu menjelaskan yang bermaksud, Rasulullah Subhanahu Wa Ta’ala bersabda: ‘Kemuliaan seorang mukmin terletak pada penghayatan agamanya, harga dirinya terletak pada kecerdasan akal fikirannya dan kehormatannya terletak pada kebaikan budi pekertinya’.”

Malah dalam titahnya, baginda berkata, punca kepada semua masalah pada hari ini adalah kerana sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, tidak amanah dan tidak berintegriti.

“Akibatnya, negara boleh hancur, punah dan musnah.”

Oleh kerana itu titah Raja Muda, bagind amat gembira melihat usaha Integrti yang mula turun ke peringkat akar umbi untuk berkongsi pengalaman dan instrumen yang telah mereka bina, agar rakyat di negeri seperti Perlis ini juga akan mendapat manfaat daripada usaha untuk membina negara bangsa berintegriti.

“Seperti yang telah saya titahkan sebentar tadi, integriti memainkan peranan yang amat signifikan dalam kesejahteraan komuniti, terutama bagi Malaysia yang mempunyai komuniti pelbagai etnik dan agama.

“Tanpa integriti, bukan sahaja komuniti akan porak peranda dan kacau bilau malahan segagah manapun empayar yang dibina akan tumbang sepertimana pengajaran yang dizahirkan dalam sejarah empayar Rom, Parsi, Sriwijaya hatta empayar Melaka satu ketika dahulu.

“Justeru itu dalam konteks membudayakan integriti pelbagai institusi dalam negara, Saya ingin menyeru agar semua pihak, terutamanya komuniti setempat haruslah turut sama melaksanakan peranan masing-masing dalam menjadikan integriti amalan murni yang sentiasa dipraktikkan dalam kehidupan seharian.”

Sempena program hari ini, Integrti dan KUIPs menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membentuk kerjasama dalam bidang-bidang yang berkaitan usaha pemupukan agenda integriti. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *