SEBERANG JAYA – Sikap rahmah adalah salah satu ciri keperibadian tinggi seseorang individu.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Yang Berhormat (YB) Dato IR Zakiuddin Abd Rahman berkata, memiliki sifat rahmah juga adalah syarat dan asas untuk menjadi sebuah negara maju.
Justeru katanya, sikap rahmah perlu diterima semua tanpa mengira latar belakang pendidikan, politik dan sebagainya.
“Melalui model ini, kerajaan mahu menjadikan negara ini sebuah negara yang berintegriti, ditadbir urus dengan baik, mengamalkan kedaulatan prinsip hukum, masyarakatnya berilmu, berakhlak, saling hormat-menghormati, adil dalam mengagihkan kekayaan negara dan memastikan pembangunan lestari, ” ujar beliau ketika berucap merasmikan Konvensyen Negara Rahmah Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini hari ini (21 September).
Hadir sama ke majlis ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf, Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin, Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam, Universiti Sains Malaysia, Dr Shahir Akram Hassan dan Penyelaras YADIM Pulau Pinang, Ustaz Afifi Ruslan, ahli ahli badan bukan kerajaan dan ramai lagi.
Sementara itu, Zakiuddin turut berharap agar program seumpama ini akan dilakukan dengan lebih banyak lagi bagi menanam kefahaman masyarakat tentang konsep rahmah dan gagasan Rahmatan Lil Alamin.
Mujahid Yusuf yang menyampaikan ucaptama selepas itu berkata, sebagai pemerintah, kerajaan mempunyai pandangan mereka tersendiri yang mengambil kira banyak aspek.
“Ia kadangkala tidak disukai sesetengah pihak tetapi mengambil kira maslahat ummat yang lebih besar, ia dilaksanakan,” jelasnya.
Afifi pula berkata, pelaksanaan program itu yang pertama kali diadakan diharap dapat memperkenalkan YADIM Pulau Pinang kepada masyarakat.
Tambah beliau, pihaknya terbuka untuk melaksanakan kerjasama pintar dengan mana mana agensi dan badan bukan kerajaan di negeri ini.
KOMEN