IPOH:Kehadiran 60 peserta yang muncul mengadakan qasidah flashmob di tengah ruang legar pusat beli belah Mydin Meru Raya di sini memberi kejutan kepada ribuan pengunjung  di pusat belah berkenaan.
Bertemakan ‘Kami Merinduimu Ya Rasulullah’ sekumpulan anak muda tampil menjayakan babak drama pendek sebelum ruang pasar raya bergema dengan alunan tiga buah lagu iaitu Al Madad, Selawat Burdah dan Ya Nabi Salam Alaika.
Program anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia Negeri Perak (MUBARAK) itu dijayakan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Shaikh Zakariyya Malaysia (KAZAMA) dan pusat beli belah berkenaan.
Flashmob berkonsep dakwah yang diadakan selama 20 minit bermula jam 5.30 petang itu disertai peserta dari pertubuhan Ash Shohabah, Maahad Tahfiz Al Ansori Chemor, Perkusi Gatra, Mauleed Ensemble dan Studio Permata.
Pengarah program, Muhd Syafiq Salehhuddin berkata, idea untuk menggabungkan konsep qasidah dan flashmob tercetus selepas merasakan dakwah perlu dipergiatkan lagi usaha untuk menghubungkan institusi agama dengan masyarakat khususnya dalam kalangan belia.
“Kita biasanya melihat persembahan qasidah hanya diadakan di ruang pentas yang terhad, jadi pada kali ini kita membuat kelainan dengan menggabungkan dua elemen qasidah dan flashmob untuk menarik masyarakat kearah konsep dakwah sebegini.
“Oleh itu kami percaya bahawa qasidah flashmob ini mampu menarik jiwa belia daripada latarbelakang dalam mendidik mereka untuk berhibur berlandaskan syariat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di program berkenaan yang dirasmikan oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Azizul Kama Abd Aziz di sini petang ini.
Yang turut hadir, Parlimen Belia Malaysia Perak, Muhammad Naim Al Amin.
Muhd Syafiq berkata, program memartabatkan seni qasidah dan menjadi sebagai hiburan sekali gus dapat menerapkan nilai yang positif pada setiap individu dan masyarakat khususnya golongan belia.
“Konsep dakwah ini dapat menerapkan tentang pentingnya selawat kepada junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W pada setiap masa dan menjadikan ia sebagai satu amalan – BERITA HARIAN
KOMEN