GEORGE TOWN – Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang membina sejuta unit rumah mampu milik dalam 10 tahun untuk membantu orang ramai, khasnya golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata KPKT akan menyelaras semua projek perumahan di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan membina 100,000 unit rumah setahun, bermula tahun ini.
“Ia merangkumi rumah mampu milik untuk semua, terutama bagi golongan berpendapatan 40% terendah (B40) supaya mereka (B40) memiliki rumah yang sesuai didiami dan boleh dianggap tempat sekeluarga berteduh.
“Lokasi dan jumlah unit rumah di setiap negeri akan ditentukan dalam masa terdekat, selepas pihak kami mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri,” katanya selepas merasmikan Ekspo Hartanah Pulau Pinang 2019 hari ini.
Zuraida berkata, KPKT juga dalam perbincangan dengan beberapa institusi kewangan dalam usaha menawarkan inisiatif bagi memudahkan golongan B40 memiliki rumah, antaranya skim sewa dan beli serta skim bank.
“Pembeli, terutama golongan berpendapatan rendah ini mampu membayar bulanan, tetapi agak susah untuk membayar deposit kerana memerlukan wang yang banyak, jadi kami sedang mengadakan perbincangan dengan institusi kewangan bagi mencari jalan penyelesaian.
“Kami juga sudah bincang dengan Bank Negara Malaysia dan pelabur perumahan yang bersetuju tampil membantu menyediakan skim pembiayaan bagi membolehkan pemohon mendapat kelonggaran pinjaman.”
Sementara itu, Zuraida menafikan 100,000 unit rumah yang akan dibina setiap tahun itu akan menambah jumlah lambakan rumah tidak terjual yang sebahagian besarnya kategori mampu milik.
Katanya, unit kediaman tidak terjual sebelum ini akan cuba dijual menerusi ekspo pemilikan kediaman yang diadakan bermula bulan ini.
“KPKT, Rehda dan pemaju sudah berunding mengadakan ekspo pemilikan kediaman seperti yang pernah dianjurkan sebelum ini bagi menjual rumah-rumah itu kepada orang ramai.”- FreeMalaysiaToday
KOMEN