Oleh HAFEEZ NUR
Rasulullah SAW bersabda: “Telah datang ahli Yaman. Mereka memiliki hati yang lembut. Iman ada pada orang Yaman, Fiqih ada pada orang Yaman. Hikmah ada pada orang Yaman.” (HR Bukhari dan Muslim).
Kota Tarim, Yaman. Sebuah kota kecil yang masyhur. Ia juga digelar kota As-Siddiq berikutan sejarahnya yang pernah dikunjungi Khalifah Abu Bakar as-Siddiq RA. Penduduk Tarim sebulat suara menyahut seruan penguasa Tarim pada zaman tersebut, Ziyad bin Lubaid Al-Ansori untuk membaiah Saidina Abu Bakar sebagai khalifah. Khalifah Abu Bakar telah mendoakan Tarim dengan tiga perkara: “Semoga kota Tarim akan sentiasa makmur, berkat dengan sumber air yang tidak akan putus dan dipenuhi orang-orang soleh hingga hari Kiamat.”
Ternyata, doa tersebut menjadikan Tarim sebuah kota yang dianugerahi keberkatan melimpah-ruah sehingga hari ini. Bumi yang penuh berkat ini berperanan sebagai markas besar bagi para aulia dan alim ulama tersohor, khususnya dari golongan ahlul-bait Rasulullah SAW dari jurai Ba-Alawi yang mula bermastautin di sini semenjak tahun 521H. Mereka terkenal kuat dalam memegang ajaran serta tradisi salaf, malahan alim ulama dari berbagai disiplin ilmu juga sentiasa dilahirkan di bumi berkat ini.
Dan antara ulama masa kini yang sangat berpengaruh dan menjadi rujukan umat Islam seantero dunia adalah Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz atau lebih dikenali dengan nama Habib Umar bin Hafidz (gelaran habib merujuk khas kepada para ahlul-bait yang alim ulama).
Nama penuhnya ialah Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz bin Abdullah bin Abu bakar bin Idrus bin Husain bin Syaikh Abu Bakar bin Salim bin Abdullah bin Abdurrahman bin Abdullah bin Abdurrahman As-Saqqaf bin Muhammad Mauladawilah bin Ali bin Alwi bin Faqih Al-Muqaddam Muhammad bin Ali bin Muhammad Sahib Mirbat bin Ali Khali’ Qasam bin Alwi bin Muhammad bin Alwi bin Ubaidillah bin Ahmad Al-Muhajir bin Isa bin Muhammad bin Ali Al-Uraidhi bin Sayyid Ja’far Ash-Shadiq RA bin Sayyid Muhammad Al-Baqir RA bin Sayyid Ali Zainal Abidin RA bin Sayyidina Husain RA bin Saidina Ali bin Abi Talib RA, suami dari Saidatina Fatimah Az-Zahra binti Rasulullah Muhammad SAW.
Beliau dilahirkan sebelum waktu subuh hari Isnin, 4 Muharram 1383H bersamaan 27 Mei 1963M di Misthoh, sebuah kampung kecil di pinggir kota Tarim. Beliau dibesarkan di dalam keluarga yang memiliki tradisi keilmuan Islam dan kejujuran moral yang tinggi. Ayahandanya merupakan seorang pejuang syahid yang terkenal, ahli intelektual dan pendakwah yang ulung iaitu Habib Muhammad bin Salim bin Hafidz bin Abdullah bin Abu bakar bin Idrus yang juga merupakan Mufti Kota Tarim.
Sebagai seorang anak kepada tokoh ulung, Habib Umar mendapat didikan langsung daripada ayahnya itu. Sejak kecil, beliau meneruskan tradisi keluarganya yang sangat mencintai dan menjiwai ilmu agama dengan sering mengimarahkan majlis-majlis ilmu. Keluarganya adalah keluarga yang teguh memegang iktikad Ahlus Sunnah Wal Jamaah dengan mazhab Syafie.
Selepas kisah penculikan ayahanda tercinta oleh pihak Soviet Union yang berfahaman komunis itu, beliau tidak pernah lagi mendengar khabar tentang keberadaan dan nasib ayahandanya. Namun, peristiwa itu tidak pernah mematahkan semangat dan melunturkan minatnya terhadap ilmu agama. Hasil usahanya itu, sejak remaja, beliau sudah menghafal al-Quran dan teks matan kitab-kitab dalam pelbagai disiplin ilmu termasuk ilmu fekah, hadis dan lain-lain.
Selain berguru dengan ayahandanya, beliau juga turut berguru dengan Habib ‘Ali bin ‘Abdur Rahman al-Masyhur, Habib ‘Abdullah bin ‘Umar asy-Syathiri, Habib ‘Alwi bin Syihab, Sayyid Hamid al-Sirri, Sayyid ‘Ali bin Zein al-Hadi, Habib Ahmad bin ‘Umar asy-Syathiri, Habib Abdullah bin ‘Aydrus, Habib Hasan bin Muhammad balfaqih, Habib Muhammad bin Hasan ‘Aidid, Habib Hasan bin Ismail, Syeikh Abu Bakar al-Khatib, Syaikh Muhammad bin ‘Iwadh BaFadhal, Habib Abdurrahman al-Saqqf, Habib Muhammad bin Hadi al-Saqqaf dan ramai lagi ulama ulung di Hadramaut.
Pada bulan Safar tahun 1402H atau bulan September tahun 1981M, beliau telah ke sebuah kota bernama Baidha’ di Yaman Utara bagi meneruskan pencarian ilmu dan dakwahnya. Di tempat barunya itu, beliau berguru dengan Habib Muhammad bin Abdullah al-Haddar. Pekerti dan kesungguhan Habib Umar itu telah menerbitkan rasa kasih sang guru sehingga menjodohkan anaknya dengan beliau. Selain itu, beliau juga sempat menimba ilmu dengan Habib Zain bin Ibrahim bin Smith, seorang ulama besar yang sangat berpengaruh yang ketika ini menetap di kota Madinah.
Disamping berdakwah, beliau juga telah mengarang beberapa buah kitab antaranya ada yang telah dicetak dan sebahagiannya masih dalam bentuk manuskrip. Antara kitab karangan beliau: Takmilah Zubdatul Hadits fil Faraidh, al-Miftah li Babin Nikah, al-Tazkirah al-Hadhromiyah, al-Fawaid al-Tsaminah, Durus al-Tauhid, al-Wasilah lil Wiqawah, Qurratul ‘Ain li Jawabi As`ilati Waadi al-‘Ain, al-Nafhah al-Wardiyah, Nazam Maulid al-Haafidz ‘Imaad al-Diin ibn Katsir, Dalil al-Muslim, al-Fawaid al-Nahwiyyah li Qaari` al-Ajrumiyah. Manakala yang masih dalam bentuk manuskrip, antaranya Majmu’ Kalam wa Mawa’idz al-Habib ‘alwi bin Abdullah bin Syihab, Manaqib al-Habib ‘Abdullah bin ‘Umar asy-Syathiri, Rehlah al-Habib Musthafa al-Muhdhar, Diwan Syairnya dan Himpunan Fatwanya.
Berdakwah, mengajar dan belajar telah sebati dalam jiwanya. Pada tahun 1414H bersamaan 1994M apabila kembali ke tanah tempat kelahiran, beliau telah mengasaskan sebuah pusat pendidikan Islam yang diberi nama “Dar al-Musthafa” di Bandar Tarim, Hadramaut khas untuk pelajar-pelajar dari seluruh dunia terutama dari negara Islam.
Tidak hanya berdakwah di tanah airnya, Habib Umar al-Hafidz juga telah membuat lawatan dakwah dan menyampaikan ilmu agama ke negara-negara Islam lain seperti Syria, Mesir, Sudan, Pakistan, Indonesia, Brunei dan tidak terkecuali, Malaysia. – MAJALAH DAKWAH
KOMEN