RIYADH: Putera Mahkota Arab Saudi, Mohamed bin Salman buat pertama kalinya menggelar serangan ganas Israel di Gaza sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Pemimpin De Facto Arab Saudi itu juga turut menekankan keperluan mendesak bagi penubuhan sebuah negara Palestin.
“Kami menegaskan penolakan kami terhadap genosid Israel ke atas saudara kami di Palestin yang telah menyebabkan lebih 150,000 orang terbunuh dan cedera, kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak”, katanya ketika ucapan pembukaan sidang kemuncak luar biasa negara Arab dan Islam di Riyadh.
Arab Saudi sebelum ini melancarkan inisiatif global bagi penyelesaian dua negara dan menegaskan pendirian untuk tidak menormalisasi hubungan dengan Israel sehingga Palestin diiktiraf sebagai negara merdeka.
Sementara itu, Mohammad Reza Aref yang mewakili Presiden Iran, menuntut janji Presiden baharu Amerika Syarikat, Donald Trump yang mahu menghentikan perang di Gaza dan Lubnan.
“Kerajaan Amerika adalah penyokong utama rejim Zionis, dan dunia sedang menunggu janji kerajaan baharu AS untuk segera menghentikan perang terhadap rakyat Gaza dan Lubnan yang tidak bersalah,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara.
Sidang kemuncak ini adalah usaha kedua Arab Saudi dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini bagi merealisasikan penyelesaian dua negara sekaligus mencapai gencatan senjata kekal di Gaza.–AlHijrah Online
KOMEN