Home » Langit Terbuka » Pusat rawatan Islam atasi tagih dadah

Pusat rawatan Islam atasi tagih dadah

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat (dua kiri) bersama Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin (kanan) rasmi Majlis Apresiasi Media #Perangi Dadah Habis-Habisan di Hotel Perdana. - Foto : Berita Harian

KOTA BHARU 6 Feb. – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berharap lebih banyak pusat rawatan Islam untuk mengatasi masalah penagihan dadah, diwujudkan di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin, berkata langkah itu dapat membantu pusat rawatan sedia ada dalam usaha berkenaan.

Ketika ini, beliau berkata, hanya ada 17 pusat rawatan Islam di seluruh negara yang berdaftar dengan AADK.

“Kita akui selain rawatan sedia ada, rawatan Islam secara spiritual dapat membantu penagih pulih sepenuhnya. Justeru, kita berharap lebih banyak pusat rawatan seperti ini diwujudkan untuk membantu.

“Pada masa sama, kita berharap universiti yang ada kepakaran seperti kaunseling dan psikologi, bekerjasama dengan pusat ini supaya pendekatan rawatan serta pemulihan secara saintifik dan spiritual bergerak seiring.

“Kita juga menawarkan pusat rawatan ini berdaftar dengan AADK untuk pemantauan dan bantuan kewangan bagi menjalankan program bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Media ‘Perangi Dadah Habis-Habisan’ di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat; Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad; dan Pengarah AADK Kelantan, Rohayu Ahmad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, negara jiran seperti Thailand dan Indonesia banyak menggunakan kaedah spiritual untuk menangani masalah penagihan dadah.

“Kaedah ini menerima sambutan cukup menggalakkan apabila orang dari luar sanggup datang untuk mendapatkan rawatan. Sebagai contoh di Indonesia, ada banyak pesantren menyediakan rawatan Islam ini.

“Justeru, apa salahnya kita membuka pusat rawatan Islam bagi tujuan itu, sebagai contoh dalam sistem pondok sedia banyak di Kelantan ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *