Home » Langit Terbuka » Pulau Pinang solat Jumaat minggu depan

Pulau Pinang solat Jumaat minggu depan

Pulau Pinang tidak mahu tergesa gesa membenarkan pelaksanaan Solat Jumaat kerana prosedur operasi standard perlu disusun rapi dahulu. - Foto Arkib YADIM

BUKIT MERTAJAM – Pulau Pinang dijangka mengadakan solat Jumaat terkawal, minggu depan selepas perbincangan mengenai tatacara pelaksanaannya selesai, sekurang-kurangnya dua hari lagi.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin berkata, solat Jumaat terkawal itu akan mengikut garis panduan yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita ambil pendekatan dengan melihat keupayaan setiap kariah masjid sama ada mampu atau tidak untuk melaksanakannya mengikut garis panduan ditetapkan.

“Misalnya, dari segi mengambil suhu jemaah dan kawalan keselamatan lain dalam memutuskan rantaian penularan Covid-19 yang setiap kariah mesti tahu menanganinya, jika mahu buka masjid untuk solat Jumaat,” katanya pada sidang media di Bukit Mertajam, hari ini (15 Mei).

Katanya, kebanyakan negeri menetapkan bilangan jemaah solat Jumaat antara 12 ke 15 orang, kecuali Wilayah Persekutuan yang membenarkan 30 jemaah dalam kalangan jawatankuasa kariah tanpa kehadiran orang awam.

Ahmad Zakiyuddin berkata, pihaknya tidak tergesa-gesa kerana prosedur operasi standard (SOP) perlu disusun rapi disebabkan enggan berlakunya musibah lebih teruk di kemudian hari.

“Agama memang penting tetapi menjaga nyawa itu juga satu kepentingan yang dituntut dalam agama. Bersabarlah dengan ujian ini dan nantikan pengumuman yang akan dibuat,” katanya.

Mengenai solat berjemaah, katanya ia masih belum dibenarkan dan hanya tiga ahli masjid dan surau yang dibenarkan mengimarahkan rumah Allah itu.

Terdahulu, beliau hadir Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Khas Covid-19 oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Ibu Pejabat Zakat Pulau Pinang (ZPP). – Harian Metro

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *